Untuk Memilih Tajuk Artikel Dalam Blog Ini, Sila Taip Perkataan di sini.

06 Januari 2016

Nikah Sendiket Di Malaysia, Dapat Surat Nikah Seberang, Nak Cerai Pula


Seorang wanita umur 30-an bernikah sebagai isteri kedua senyap-senyap di sebuah negeri di Malaysia. Pasangan ini dinikahkan oleh seorang 'imam' di situ. Dia kemudian dapat surat nikah dari sebuah negara jiran walaupun dia bukan nikah di sana. Beberapa tahun hidup bersama, kemudian pasangan ini dilanda masalah rumahtangga.

Suaminya telah melafazkan cerai melalui perbualan telefon. Suami mengatakan cerai talak tiga terhadap isterinya itu. Wanita ini bertanya saya soalan ini. Pertama, adakah nikahnya sah atau tidak. Kedua, bagaimana kedudukan perceraiannya.
...................

Jawapan:

Pertama, di dalam masalah ini, sama ada nikah sah atau tidak, hendaklah dirujuk ke mahkamah syariah. Pasangan , atau salah seorang dari suami atau isteri boleh membawa nikah sendiket ini ke mahkamah syariah untuk disahkan. Mahkamah syariah mempunyai kuasa untuk mengesahkan pernikahan ini sah atau tidak. Sekiranya pernikahan sendiket ini tidak didaftarkan, mahkamah syariah tidak akan melayan apa-apa permohonan termasuk status perceraian, nafkah, penjagaan anak dan sebagainya.

Dicadangkan pasangan ini atau isteri yang mengadu melantik peguam syarie yang bertauliah untuk mewakilinya di mahkamah syariah.

Kedua, mahkamah syariah di Malaysia tidak boleh mendengar 'status perceraian' sekiranya pernikahan sendiket ini tidak didaftar dan disahkan oleh mahkamah. Begitu juga kalau pasangan ini bernikah di negara luar seperti Thailand, mahkamah syariah di Malaysia tidak akan mendengar kes perceraian sesuatu pasangan itu. Pasangan ini atau isteri boleh pergi ke mahkamah syariah diThailand untuk proses perceraian sekiranya pernikahannya belum didaftarkan di negara ini.

Daftar Cerai

Sekiranya pernikahan sudah didaftarkan, barulah mahkamah syariah di Malaysia boleh mendengar pengesahan cerai yang dikatakan talak tiga ini. Apabila berlaku lafaz cerai di luar mahkamah, itu adalah satu kesalahan di bawah Undang-undang Keluarga Islam negeri-negeri yang boleh membawa hukuman denda sehingga RM1,000 atau 6 bulan penjara atau kedua-duanya. Selepas permohonan pengesahan cerai ini, hakim akan memutuskan status perceraian ini. Hakim mahkamah syariah mempunyai kuasa menentukan sama ada jatuh atau tidak talak itu dan kedua, berapakah jumlah talak sama ada satu atau tiga.

Tiada ulasan:

Catat Komen

Dipersilakan komen.