Untuk Memilih Tajuk Artikel Dalam Blog Ini, Sila Taip Perkataan di sini.

03 Jun 2010

Sudah Nasibku 'Mat Burger' : Episod 15

Hari itu, Man ditemani Aboi hantar kereta wajanya ke kedai untuk cat satu kereta. Hantar ke kedai kereta Ah Cai dekat Taman Tasik Utara, berhampiran pejabat pendidikan. Man dah kenal lama dengan Ah Cai, buat pun ok. Oleh kerana warna kereta dah agak lusuh juga, maka Man ambil keputusan cat satu kereta. Man tukar warna dari kelabu kepada hitam, pada anggapan Man, biar samseng tu tak cam Man lagi. Semua sekali RM 1900.00 dan ambil masa 4 hari untuk siap kata Ah Cai, lelaki Cina dalam 40-an itu.

Kemudian, Man bersama Aboi naik teksi ke Larkin dan ambil bas untuk balik kampung. Dalam teksi, Man pesan pada Aboi supaya tengok tengok rumahnya. Kemudian Man kasi gaji Aboi walaupun kedai tak buka, tapi Man tetap jaga pekerjanya. Itulah yang membuatkan Aboi suka bekerja sama Man yang sentiasa menjaga hati dan kebajikan anak buahnya.

"Aboi... tolong tengok-tengokkan rumah Man dan gerai kita. Man mungkin 2-3 hari atau paling lewat pun seminggu di kampung". Kata Man.

Aboi diam saja dan mengangguk. Pada Aboi, kalau cuti pun dapat gaji kira ok juga. Man beli tiket jam 4.00 petang, bukan susah nak beli tiket, bas banyak. Aboi tunggu Man sehingga bas jalan, sebab bimbangkan keselamatan Man. Bila bas sampai, Aboi balik ke rumahnya. Dalam bas, Yanti sms Man.

"Man kat mana tu. Boleh ker kita jumpa, Yanti ada hal penting nak beritahu." Sms Yanti.

"Jumpa..Maaf Man dalam bas, nak balik kampung." Sms Man.

"Balik kampung ? Man..Sampai hati Man balik kampung tak beritahu Yanti". Sms Yanti.

Man tak jawab sms itu seketika. Pada anggapan Man, kenapa nak balik kampung pun kene beritahu Yanti, Yanti bukannya dah jadi isterinya. Tapi Man faham, itulah hangatnya orang bercinta, semuanya nak kena beritahu buah hatinya. Kemudian Yanti hantar satu lagi sms pada Man. Oleh kerana tak boleh jumpa, Yanti ambil keputusan nak beritahu cerita penting itu melalui sms saja.

"Man. Yanti dah buat keputusan untuk kita nikah lari ke Thailand". Sms Yanti. Man terkejut.

"Nikah Thailand ? Biar betul Yanti". Sms Man.

"Yer Man, Yanti dah fikir semasaknya. Sebenarnya dah berbulan dulu lagi Yanti rancang cuma tak beritahu Man saja." Sms Yanti. Man tak balas sms tu lagi, seakan terkejut.

"Kawan Yanti di JB ni pun ada yang nikah Siam senyap-senyap sebagai isteri kedua". Sms Yanti.

"Isteri kedua ? Tapi kalau kita nikah, bukan Yanti isteri kedua kan ?". Sms Man.

"Yer le Man, bukan Yanti isteri kedua, tapi Yanti nak cerita, kawan Yanti tu nikah Siam sebab nak rahsiakan dari isteri pertama suaminya". Sms Yanti.

"Man. Yanti dah jumpa pun orang yang boleh bawa kita ke Siam. Dia duduk tak jauh dari sini.". Sms Yanti.

"Yer ke ? Bila Yanti jumpa dia ? Kat Mana Yanti jumpa ?". Sms Man.

"Kat restoran Osman, dalam sebulan lepas dengan kawan Yanti yang dah nikah Siam tu." Sms Yanti.

"Yang uruskan tu siapa dia ?". Sms Man.

"Dia kerja pemandu teksi. Dia ambil bayaran 5 ribu ringgit kesemuanya, siap hantar sampai sana naik teksi dia." Sms Yanti.

"5 ribu ringgit ? Ini nikah betul ke tak betul ?". Sms Man.

"Betullah Man. Kita masuk sampai sana, dia bawakkan jumpa imam sana. Tak pakai pasport pun tak apa.". Sms Yanti.

"Ok. Tapi nikah sana sah ke tak ?" Sms Man.

"Man. Balik tu kita daftar kat pejabat agama sini, dapat surat nikah sini. Tak perlu takut". Sms Yanti.

"Man tak biasalah dan tak terfikir nak buat camni sebelum ni." Sms Man.

"Man... Yanti dah fikir, inilah cara terbaik nak selesaikan masalah kita. Cara lain, Yanti nampak, tak ada jalan lagi." Sms Yanti. Man tak jawab sms tu kerana terkejut beruk dan rasakan Yanti seolah-olah mendesaknya.

"Yanti sanggup berkorban  buat semua ni untuk kebahagian kita". Sms Yanti lagi.

"Sesiapa pun tak boleh halang cinta kita kita, Man." Sms Yanti lagi.

"Yanti akan buktikan kepada ibu bapa dan adik beradik Yanti, yang pilihan Yanti adalah tepat, bukan silap." Sms Yanti lagi.

Man baca setiap sms tu tapi sudah berhenti membalas. Ada sesuatu yang Man rasa tidak bersetuju dengan Yanti. Tapi Man fikir, dia tak boleh kata tak setuju dengan Yanti, dia dah faham hati seorang perempuan. Lebih lagi perempuan itu adalah kekasihnya, hati seorang kekasih mudah terguris. Kalau salah pertuturan atau salam sms, boleh jadi perang besar. Jadi lebih baik Man berdiam diri saja.

Bas yang Man naik meluncur laju di lebuhraya. Man agak, kalau jalan lancar begitu, dalam sejam setengah sudah sampai ke bandar yang dituju. Kerusi sebelah Man kosong, maklumlah bukan hari cuti atau kelepasan am. Kalau hari cuti  pasti penuh bas. Man dah lama tak naik bas, sejak ada kereta. Man terus berfikir, wajarkah nikah di Siam ?

Kenapa perlu nikah Siam ? Tak boleh ker nikah di negara sendiri ?  Kalau nikah Siam sudah tentu nikah secara rahsia atau senyap, tanpa pengetahuan sesiapa termasuk keluarga Man sendiri. Inilah yang Man tak sanggup. Man rasa, dalam nak buat sesuatu yang besar, Man perlu dapat restu ibu dan bapanya, lebih lagi dalam perkahwinan ini, bukan perkara kecil. Man tak sanggup membelakangkan ibu bapanya. Man anak sulung, Man tak mahu menjadi contoh yang tak baik kepada adik beradiknya yang semuanya masih belajar. Selama ini, Man banyak tanggung adik-adiknya belajar sehingga kesemuanya cemerlang dan semuanya ada  harapan cerah untuk masuk universiti.

Man tanamkan satu azam, biarlah dia seorang abang sulung yang jadi Mat Burger, dicaci dan dihina macam yang dia alami sekarang. Dia mahu adik-adiknya masuk universiti macam Yanti dan dapat pekerjaan secocok gitu ikut bahasa Indon. Man sebelum ini, sudah berjanji kepada ibu bapanya untuk menanggung segala perbelanjaan pelajaran adik-adiknya. Tidak lain, adalah hasil keringat Man menjual burger di JB. Sebelum ini Man tak sambung belajar sebab keluarganya bukan orang senang, walaupun Man boleh terus melangkah sehingga ke univesiti kalau dia mahu.

Maknya pada awalnya mahu Man jadi anak sulung yang berjaya masuk universiti supaya jadi contoh kepada adik-adik, tapi Man tak sanggup melihat ibu dan bapanya berhempas pulas bekerja yang gajinya tak seberapa, sekadar boleh menampung hidup dan makan sekaluarga sahaja.

Man rasa, keputusannya  jadi peniaga burger adalah satu keputusan yang tepat dan berbaloi. Man sudah mampu belikan bapanya sebuah kereta Toyota SE Limited secondhand tunai. Bolehlah bapanya buat pergi ke kebun, ambil upah kutip buah koko atau kelapa, meracun dan mesin rumput di kebun orang. Sebelum ini bapanya naik moto kapcai saja. Rumahnya pula, Man sudah keluarkan duit lebih 20 ribu, baiki bumbung bocor, buat bilik air dalam rumah dan pasang mozek serta pembaikan lain yang patut-patut.

 Lain-lain termasuklah perabut dan tv Sony 21  inci. Maknya dulu terpaksa bekerja menebas dan meracun di kebun orang ikut bapanya, sekarang tidak lagi. Sekarang, Man adalah tonggak utama dalam keluarga. Kalau begitu, takkanlah Man nak beri contoh yang tak baik dalam keluarga. Di kampung sekarang, nama Man cukup harum, termasuk ramai nak jadikan Man calon menantu. Man jadi contoh di kampung sebagai lelaki yang berjaya dalam perniagaan di JB. Takkanlah Man nak nikah lari....Tidak!............ Tidak!................ Hati Man berkata begitu.

Lama Man mengelamun, Man rasa sms Yanti itu perlu dijawab dan tak sepatutnya didiamkan saja. Kalau didiamkan nanti, angin tak pasal pasal Yanti pun boleh datang.

"Yanti. Man kena bincang dan dapat restu dari ibu bapa Man dulu kalau nak buat semua ni". Sms Man, merujuk kepada rancangan Yanti yang nak nikah Siam tadi.

"Man..Lebih baik jangan beritahu ibu bapa Man, kita nikah saja dulu". Sms Yanti.

Sms Yanti ini mengejutkan Man. Yanti seolah-olah mahu Man derhaka kepada ibu bapanya. Man dan Yanti datang dari keluarga yang berbeza. Kalau Yanti boleh membelakangkan keluarganya, Man rasa dia tak boleh. Jadi, Man tak balas sms tu dan terus senyap. Ini membuatkan Yanti terus bertalu-talu hantar sms pada Man.

"Man... Yanti faham perasaan abang, tapi sekarang tak boleh begitu". Sms Yanti.

"Man..Kalau boleh kita segerakan nikah kita, seberapa segera Man". Sms Yanti lagi.

"Kalau boleh esok lusa, sebelum Yanti kena pindah KL". Sms Yanti lagi.

"Lepas nikah. Yanti nak merayu dikekalkan di JB dan tak pindah ke KL". Sms Yanti lagi.

"Man...Kenapa diam Man. Kenapa tak balas Man..". Sms Yanti.

"Man...maafkan Yanti Man. Maafkan Yanti. Yanti sayangkan Man. Yanti tak mahu kehilangan Man ". Sms Yanti yang terakhir.

Man tak jawab terus, fikirannya kusut. Kepala Man terasa pening dan berdesing dan bengkaknya di bawah mata berdenyut. Baru Man sedar yang kesakitannya belum pulih sepenuhnya, malah hari ini semakin terasa sakitnya. Man terasa telinganya sebelah kanan ada sedikit masalah pendengaran. Man tahu, itu kesan hentakan dan pukulan kuat samseng itu beberapa kali terkena telinganya. Tapi Man semacam ambil mudah, sikit pun dia tak pegi klinik. Bas sudah sampai dan Man turun dari bas untuk ambil teksi.

Man terasa hendak pengsan tapi dia kuatkan semangat sehinggalah dia dapat teksi untuk hantar ke kampungnya, dalam 20 minit perjalanan lagi. Kepala Man semakin sakit dan dia menahan kesakitan itu, hanya semangat yang menyebelahi Man. Man percaya, kecederaan yang dialaminya serius dan bukan main-main. Man tetap tak beritahu pemandu teksi, hanya dia beritahu dia nak tidur sebab mengantuk dan beritahu pemandu supaya gerakkannya kalau dah masuk ke kampungnya.

....BERSAMBUNG KE EPISOD 16
http://kadikluang.blogspot.com/2010/06/sudah-nasibku-mat-burger-episod-16.html (Episod 16)

4 ulasan:

  1. Kalau buat novel tentu laris.
    Jalan cerita seronok dibaca.

    BalasPadam
  2. huhu...bharap sgt man tak sakit ape2

    ..yanti pon harap sgt die tak jadi `cinta gila`


    p/s tak bmaksud ape2

    BalasPadam
  3. kalo difilemkn msti mletup ni,

    BalasPadam
  4. Seronok baca cerita Mat Burger ni. Macam ada persamaan dengan saya. Namun perlu diingat, Tuhan yang menentuka segalanya. Perlu juga diketahui apa yang berlaku PASTI ada hikmahnya.

    BalasPadam

Dipersilakan komen.