Untuk Memilih Tajuk Artikel Dalam Blog Ini, Sila Taip Perkataan di sini.

27 Februari 2011

Pilihanraya Kerdau dan Merlimau Dari Kacamata Sisi


Rasa baru sangat pilihanraya Tenang, Johor, sekarang pilihanraya Kerdau dan Merlimau pula. Yer, ajal dan maut ketentuan Allah Taala, kerusi yang kosong kena diisi. Mungkin ini pilihanraya kecil terakhir sebelum pilihanraya umum yang mungkin tahun depan atau hujung tahun ini atau entah bila-bila. Sebab ada satu peraturan, kalau tak silap saya, kalau kurang dari setahun lagi nak pilihanraya umum, kerusi itu boleh tidak diisi. Maknanya, kalau ada wakil rakyat yang meninggal dunia atau meletak jawatan atau diistiharkan hilang kelayakan selepas ini, tidak perlu diadakan pilihanraya lagi.

Status di DUN Perlabuhan Kelang Selangor dan sebuah DUN di Kedah yang diistihar kosong oleh Speaker masih menjadi tanda tanya lagi.

Pilihanraya Penutup

Jadi oleh kerana ini pilihanraya penutup, kedua-dua parti nak menang sama ada BN atau PAS. Tapi nak menang, nak menang juga, yang pentingnya, bertandinglah secara terhormat. Patuhilah segala peraturan negara, elakkan sesuatu pelanggaran undang-undang. Jauhilah rasuah, penyelewengan kuasa dan sebagainya.

Cerita di Mesir, Tunisia, Bahrain dan Libya

Di Mesir, Tunisia, Bahrain dan Libya katanya ada pilihanraya dan rakyat dibenarkan mengundi untuk memilih pemimpin mereka. Pemimpin mereka menang besar seolah-olah hampir tidak ada orang yang tidak menyukai pemimpin itu. Tapi yang hairannya, kenapa mereka sendiri tidak menyukai pemimpin yang menang itu ? Ini ditunjukkan dengan jutaan rakyat yang keluar ke dataran dan jalanraya menyuarakan bantahan kepada pemimpin mereka.

Jadi, kalau pemimpin itu betul-betul dipilih rakyat, sudah tentu rakyat tidak keluar membantah pemimpin mereka. Itu secara logiknya. Persoalannya, pilihanraya mereka adakah pilihanraya yang adil ? Atau sekadar pilihanraya untuk menyatakan mereka disokong oleh rakyat, tapi sebenarnya tidak begitu.

Di negara kita, parti bertanding ada peluang untuk menang atau kalah. Maknanya, bukan satu parti saja yang boleh menang. Di Kelantan sudah lebih 20 tahun PAS perintah mengunakan saluran pilihanraya. Pilihanraya umum 2008 juga, Penang, Selangor, Kedah dan Perak, Pakatan Rakyat boleh menang. Hujah ini boleh menafikan yang parti yang sedang berkuasa mesti menang, tidak semestinya. Tapi adakah cukup hujah itu saja yang boleh menyatakan yang pilihanraya kita bersih 100 peratus ? Yer, belum tentu, kerana ada banyak sudut lain lagi yang perlu dilihat.

Jangan Merosakkan Demokrasi

Hari ini ada satu perhimpunan di ibu negara yang disuraikan oleh polis dan tertangkapnya puluhan penunjuk perasaan. Mereka keluar beramai-ramai untuk menyatakan sesuatu hasrat mereka, katanya. Tapi persoalannya, kenapa perlu buat perhimpunan sebegitu ? Tidak adakah saluran lain yang lebih baik ? Kalau ada, ikutlah saluran itu. Tapi kalau tidak ada, bagaimana ? Inilah yang menyebabkan mereka atau kumpulan mereka memilih jalan demonstrasi.

Jagalah negara kita, jagalah keharmonian negara, jangan rosakkan negara kita. Tidak kira apa bangsa kita, kita anak Malaysia, kitalah yang yang bertanggungjawab memeliharanya. Kalau polis sudah melarang perhimpunan dan tidak mengeluarkan permit, kenapa masih berdegil untuk mengadakannya ?

Kita kan ada saluran pilihanraya 4-5 tahun sekali, kenapa tak guna saluran itu ? Gunakanlah sebijaknya peluang mengundi 4-5 tahun sekali itu. Semua orang ada wakil rakyat di DUN dan Parlimen, kita kan boleh bertemu mereka. (Kecuali di Wilayah saja yang tak ada DUN). Kita kan ada agensi kerajaan yang boleh kita temui untuk menyarakan hasrat kita. Dan banyak lagi saluran lain yang sah dan berlandaskan undang-undang. Jadi kenapa pilih jalan demonstrasi jalanan?

Terjemahkan Dalam Pilihanraya

Pertama, orang kita masih ramai yang belum daftar mengundi. Hari ini di akhbar, kenyataan seorang pemimpin yang kesal kerana lebih satu juta ahli mereka tidak daftar mengundi. Pelik juga ni... Daftar dengan sebuah parti politik boleh, tapi daftar mengundi tidak.

Kedua, yang bakal mengundi di Kerdau dan Merlimau, janganlah tak turun mengundi. Ingat, satu undi pun bernilai, cuma tak nampaklah berapa nilainya sebab dia bukan wang ringgit. Sorotilah sejarah PAS  yang hampir tersungkur pada pilihanraya umum 2004 di Kelantan. PAS ketika itu diselamatkan dengan 2-3 undi sahaja di sebuah DUN dalam detik yang sungguh mencemaskan bagi PAS dan BN. Kalau difikirkan semula sejarah ini, mungkin ada 2-3 orang BN yang tidak balik mengundi di Kelantan. Kerana kalau dia balik mengundi, kiranya PAS akan tumbang hari itu. Begitu juga, ada orang PAS yang kejap nak balik mengundi, kejap tak nak balik, kemudiannya balik juga suami isteri mengundi PAS di situ. Rupanya dengan undi itulah yang berjaya menyelamatkan PAS. Baru dia sedar, betapa besar peranan seorang pengundi.

Ketiga, pengundi terjemahkan dalam kertas undi, parti mana dia nak pilih. Kalau dulu undi parti itu, sekarang nak undi parti itu juga, dipersilakanlah. Atau, kalau dulu undi parti itu, sekarang nak tukar parti lain, dipersilakan juga. Itulah kuasa pengundi. Di negara kita, pemimpin yang naik itu rakyat termasuk kita yang pilih, mereka tak boleh naik sendiri-sendiri.
SEKIAN.

1 ulasan:

  1. sebagai rakyat kita berhak memilih, samada pemimpin yang kita pilih menang atau kalah. kita kena terima dan Diharapkan pemimpin yang menang dapat menjalankan tanggungjawab dengan sebaik mungkin.

    BalasPadam

Dipersilakan komen.