Untuk Memilih Tajuk Artikel Dalam Blog Ini, Sila Taip Perkataan di sini.

20 Julai 2013

Lelong Rumah Episod 11: Sekarang Masanya Untung Jual Rumah?


Tahun 2013 dan hujung 2012 di negara kita menampakkan kenaikan yang ketara mengenai harga rumah. Sedangkan tahun 2008, 2009 dan 2010, harga rumah adalah murah dan banyak rumah lelong. Episod lepas saya cerita bab "Gelembong Hartanah" dan kurangnya rumah yang kena lelong sekarang. Kalau perut yang boroi, bolehkah perut itu kempis? Jawapannya boleh. Tapi tak tahulah bila.

Dalam keadaan sekarang, masih ada orang yang membeli rumah dengan harga yang mahal dan mereka masih dikira berbaloi. Seorang kenalan saya adalah seorang orang penting dalam perniagaan hartanah bercerita, syarikatnya melancarkan kondominium dengan harga setengah juta atau 500,000 di Lembah Klang dan beberapa hari saja habis terjual. Syarikatnya turut menjual rumah  bawah dengan harga dalam sejuta dan juga habis. Saya tanya dia, adakah munasabah dengan harga kondo setengah juta dan rumah teres dengan harga itu? Dia kata, bukannya tidak munasabah, tapi orang berebut-rebut beli. Jawapan itu, menyebabkan saya tidak soal lagi soalan yang sama pada dia.

Untung Atas Angin

Saya faham, orang yang membeli hartanah sebegitu ada tujuannya iaitu untuk mendapat keuntungan cepat. Katanya, rumah yang harga setengah juta itu boleh dijual dengan harga sejuta apabila kondo itu siap. Maknanya dalam tak berapa lama, pemilik rumah itu dapat untung setengah juta segera. Keuntungan sebegini tak akan dapat kalau kita melabur dalam ASB, Tabung Haji, Saham Bank Rakyat dan sebagainya. Juga belum tentu untung kalau kita jadi pelabur dalam bursa saham. Tapi hartanah... ini berlaku, bukan khayalan tapi kenyataan.

Kalau kita ke Johor Bahru, waktu menulis ini pun saya di Johor Bahru, kita lihat harga hartanahnya semakin mahal tanpa had. Semuanya bergantung kepada permintaan pembeli. Yang saya tengok, tahun 2009, sebuah rumah kedai baru di lokasi strategik di JB dijual dalam lingkungan 390,000. Tapi sekarang tahun 2013, kedai baru yang harganya 950,000 adalah perkara biasa. Itupun dah habis terjual, berebut-rebut orang beli. Beli rumah kediaman atau rumah kedai ada dua keuntungannya iaitu penyewa bulanan dan boleh jual kalau siapa nak beli dengan harga tinggi.

Beberapa hari lepas, saya baca dalam akhbar, katanya kerajaan sedang mengkaji, bagaimana untuk melindungi pembeli rumah. Sekarang ini, orang yang berduit akan membeli dan terus membeli hartanah kerana mereka punyai banyak wang. Sedangkan orang yang belum berkemampuan, menggigit jari saja. Antara cadangan kerajaan adalah dengan mengkaji undang-undang untuk menyekat atau mendenda orang yang menjual hartanah dalam masa 2 tahun. Bagaimanapun, semua ini masih diperhalusi lagi.

Sampai Bila Harga Naik

Soalnya sekarang, sampai bila harga rumah ini akan naik ? Bilakah penghujungnya. Saya tertarik dengan kenyataan seorang tokoh ekonomi terkenal negara yang menyatakan, akan berlaku kitaran ekonomi iaitu turun naik seperti roda. Maknanya, ada masanya sesuatu sektor itu meningkat naik, dan ada masanya akan jatuh. 

Emas

Kita lihat dulu harga emas naik, ramai orang terperangkap semasa beli emas tinggi. Ramai yang menyimpan dengan membuka akaun pelaburan emas di bank yang waktu itu berkhayal untuk jadi kaya, tapi Allah takdirkan harga emas jatuh sampai hari ini. Ada juga kawan saya yang keluar duit KWSP puluhan ribu dan terpengaruh dengan satu syarikat kononnya peleburan yang baik. Akhirnya sekarang, duit dia habis lansung. Bukan itu saja, malah syarikat itu menyalahkan pelabur kerana katanya tidak memahami syarat-syarat pelaburan yang dibuat dulu.

Kelapa Sawit

Sekarang harga sawit jatuh. Berapa harga sekarang, saya tak berapa tahu tapi yang saya tahu, harga sekarang rendah berbanding zaman kegemilangannya kira-kira dua tahun lalu. Dulu tahun 1996, apabila harga rumah naik, banyak syarikat yang menceburi bidang hartanah. Ada syarikat yang kepakarannya hanya menguruskan ladang saja akhirnya mengambil keputusan menceburi bidang perumahan kerana nampak keuntungan yang berlipat ganda pada masa itu. Hingga penghujungnya, ada syarikat yang lingkup semasa kegawatan ekonomi dan projek perumahannya tak siap dan terbengkalai pun ada. Ada saham perumahan yang dulu cukup hebat akhirnya diistiharkan muflis dan ada saham yang dapat tanda merah dan ada juga yang dinyahsenarai dari bursa saham.

Waktu itu, tengah elok-elok sawit banyak buah, cuma harganya tak berapa baik, ada syarikat perladangan yang tebang pokok sawit semahunya macam tak sedar diri. Tujuannya nak buat perumahan. Tapi masa gawat tahun 1997-1999, harga sawit pula meningkat tinggi. Maka menyesallah syarikat yang nak buat perumahan itu sebab pokok sawit dah banyak ditebang. Nak tunggu berbuah dalam 5 tahun, bila dah cukup 5 tahun, harga pulak tak semahal dulu. Inilah perkitaran ekonomi.

Pada saya, dalam keadaan harga sawit yang tak berapa mahal sekarang, bertahanlah. Tengoklah nanti, harganya pasti naik semula kerana sejarah kenaikannya sudah ada. Hari ini saja ada berita yang menarik mengenai industri sawit apabila sebuah syarikat sawit Malaysia berjaya menerokai industri biodisel negara Eropah. Nak tahu cerita lanjut, klik sini, Berita Harian . Ekonomi ini ibarat roda atau spotrim kereta, ada masa berada di atas, ada masa di bawah. Sama-sama adillah, ada masa sedap, ada masa tak sedap, sama-sama merasa.

Getah

Dalam tahun 2010 dan 2011, harga getah naik ke paras tertinggi dan ramai pekebun getah jadi kaya. Ada seorang Pak Haji di Kluang waktu itu ada dalam 15 ekar kebun getah. Dia menoreh bersama isteri dan pekerja Indonesianya. Dia cerita, pendapatannya melebihi 15,000 dalam sebulan dengan hasil kebun getahnya. Alhamdulillah, dia bayar zakat yang banyak kepada Majlis Agama Islam. 

Tapi sekarang harga getah dah muram sedikit tapi pasti ada penghujungnya. Saya yakin, kenaikan akan berlaku cuma tak tahu bila saja. Yang akan berlaku waktu itu, kebun getah dan semakin kurang. Banyak tempat sekarang terutama felda dah banyak kebun sawit hingga kebun getah semakin kurang. Jangan pulak nanti, masa getah naik, pergi tebang pokok sawit tanam getah pula.

Bijih Timah

Kita belajar dalam buku teks sekolah dulu yang bijih timah satu masa dulu cukup terkenal di negara kita. Dengan bijh timahlah menyebabkan kemasukan tenaga buruh asing ke negara kita waktu itu. Juga wujudnya bandar seperti Kuala Lumpur, Ipoh, Seremban, Lukut, Kuantan dan lain-lain kerana kepesatan industri bijih ini. Satu masa dulu Sungai Lembing di Kuantan terkenal dengan bijih ini dan menjadi bandar yang pesat waktu itu. Tapi sekarang kalau kita ke Sungai Lembing, kita dapati deretan kedai-kedai buruk yang sunyi dan tidak ada penghuni seperti dulu lagi. Dalam buku sejarah sekolah pun ada cerita pasal kongsi gelap Cina, Han San dan Ghee Hin. Nama Yap Ah Loi cukup terkenal yang dalam buku sejarah itu ada gambar dia yang hensem pakai topi.

Sekarang bagaimana indistri bijih timah yang dulu Malaya menjadi terkenal seluruh dunia ? Di beberapa tempat di Ipoh, bekas lombong ini jadi tempat bela itik serati yang bising itu. Daging dia dijual termasuk yang saya beli masak itik panggang orang datang raya rumah saya. Telur dia buat telur masih atau orang kampung saya panggil 'telur asin'. Tapi jaga-jaga, doktor kata kalau sesiapa yang sakit darah tinggi jangan makan banyak sangat telur masin ini.

Saya pergi ke Puchong Selangor, ada bekas lombong yang ditimbus dan kemudiannya dibuat perumahan. Saya nak buat lawak sikit..... nanti kalau harga bijih timah naik menggila, agaknya orang sanggup runtuhkan rumah dia sendiri untuk menggali bijih timah ini, tak ker gitu?

Jual Rumah

Kembali semula cerita pasal rumah. Kepada siapa yang dah ada rumah banyak, bukan orang rumah banyak yer... Maka cuba fikirkan untuk menjual rumah kita sekarang. Kalau kita berpoligami lebih dari satu rumah, mungkin rumah yang kita tidak duduk itu, kita buka harga sedap sikit. Antaranya dengan bukak iklan free dalam Mudah.com. Contohnya rumah di Pulai Perdana JB yang dulu tahun 2005 dibeli dengan harga 145,000, cuba buka untuk jualan dengan harga 350,000. Okey saya ulang semula untuk lebih jelas.

Rumah yang dibeli itu tahun 2005 maknanya dah 8 tahun. Cuba tanya bank, berapa baki pinjaman kita. Mungkin dalam 120,000. Jadi kalau betul ada orang nak beli rumah kita 350,000 tolak 120,000, akan dapat wang tunai 230,000. Banyak tu.

Jual Rumah Lelong

Juga kepada pembeli rumah lelong macam saya tahun 2008-2010 dulu. Contohnya sebuah kondo di JB dulu dibeli dengan 70,000. Sekarang cuba buka dengan harga 290,000 atau kalau berani dalam 350,000. Tengok, ada orang tanya atau tidak. Kita kena ingat, yang harga rumah yang tinggi sekarang mungkin tidak lama. Mungkin beberapa tahun lagi, harganya akan turun ke paras yang sebelumnya. Faktor yang menyebabkan harga rumah murah adalah antaranya, lebihan rumah berbanding pembeli, kesukaran mendapatkan pinjaman perumahan, sektor lain gawat, kuasa beli rakyat semakin kurang, kemelesetan ekonomi, undang-undang yang ketat untuk jualbeli rumah, bencana alam, pertumbuhan bandar baru, sumber ekonomi yang baru dan sebagainya. Satu dua faktor yang saya sebut, sudah ada sedikit berlaku.

Dulu saya kursus hartanah pada 13 November 2011, tak percaya, klik sini . Kalau kita iklankan di internet, beberapa jam saja akan ada broker hartanah telefon. Broker ini adalah broker yang tak berlesen yang saya tak sampai hati nak kata 'broker haram' macam media kata, sebab saya pun termasuk dalam golongan ini juga. Broker ada skil dan kemahiran dia tersendiri untuk luaskan iklan jualan itu sehingga berjaya terjual.

http://ustazkhalil.blogspot.my/2014/06/beli-rumah-lelong-episod-10-johor-bahru.html

1 ulasan:

  1. Adatlah...ada naik ada turun, ada untung ada rugi, ada besar ada kecik...Allah SWT tu kan maha adil lagi maha bijaksana. Kalau sekarang kita susah, esok lusa kita senang, kalau hari ni kita senang, mungkin masa depan kita susah.... tu semua ujian Allah. Kalau kita tak diuji masa muda, kita diuji masa tua...begitulah sebaliknya...

    BalasPadam

Dipersilakan komen.