Untuk Memilih Tajuk Artikel Dalam Blog Ini, Sila Taip Perkataan di sini.

08 November 2009

SENDIKIT NIKAH PALSU BANGLA



Dulu Taman Air Biru, Pasir Gudang terdapat ramai rakyat Bangla, sekarang tak seramai dulu. Suatu hari, saya dapat aduan mengenai sendikit nikah palsu, sebagai penguatkuasa saya membuat risikan terhadap aduan tersebut. Katanya, ada seorang imam jurunikah Bangla di taman itu yang bertindak menikahkan warga Bangla sesama mereka. Kebiasaannya lelaki Bangla dan wanita Bangla dan wanita Indonesia.

Pada suatu hari, hari Ahad, saya mendapat tahu akan berlansung pernikahan satu pasangan warga Bangla di taman itu, saya dapat alamat lengkap di taman perumahan tersebut. Saya datang ke sana bersama 4 orang penguatkuasa bersama seorang orang awam yang mengetahui latarbelakang tempat tersebut. Apabila saya datang lebih kurang jam 1.00 tengahari, majlis kenduri kahwinnya dibuat secara besar-besaran juga. Ada khemah didirikan di hadapan rumah teres dalam kawasan rumah,, bagaimanapun tidak melimpah ke jalan. Tetamu yang hadir adalah terdiri dari rakyat Bangla dan tidak ada seorang pun orang Melayu hadir walaupun di situ ramai jiran Melayu.

Kami datang ke rumah tersebut dan disambut dengan mesra oleh tuan rumah. Tuan rumah nampaknya tidak mensyaki apa-apa pun, malah kami dihidangkan dengan makan tengahari nasi briani ala Bangla. Nasinya agak melekit sikit dan ada bau kari. Lauk ayam dan dal. Tujuan datang bukan hendak makan, tapi  kalau dihidangkan makan saja. Mula macam tak selera, tapi lama-lama selera juga.

Saya kata pada tuan rumah, bahawa kami ini jiran berdekatan dan datang sebab tengok ada majlis kahwin. Saya kata, kalau ikut budaya orang sini, jiran berdekatan mesti dijemput. Sekali lagi dia tak syak apa-apa. Lepas makan, saya tanya mana dia pengantin sebab budaya orang sini, mesti tengok muka pengantin. Tuan rumah masuk ke dalam rumah panggil pengantin, hanya pengantin lelaki yang keluar, perempuan tak keluar sebab malu-malu kucing, maklumlah pengantin baru. Rupanya majlis akad nikah dah berlansung pagi tadi, dinikahkan oleh imam Bangla. Ok, saya ambil semua maklumat berkenaan jurunikah tadi. Rumah itu  pula bukan rumah pengantin lelaki tetapi rumah seorang Bangla yang dah lama di sini, mungkin sebab rumahnya lebih besar berbanding rumah Bangla lain.

Lepas tu, kami pun balik rumah, bersalaman dengan tuan rumah. Tiba-tiba pengantin tu cium kaki saya, saya halang, pelik sungguh dibuatnya. Mungkin dia anggap saya macam Tok Ketua di situ, walaupun saya menyamar je. Maknanya penyamaran saya menjadi, segala maklumat pun dah lengkap. Balik ke pejabat, saya mengarahkan penguatkuasa JAIJ berkumpul jam 9 malam itu untuk membuat serbuan.

Lebih kurang jam 10.00 malam rumah itu diserbu, pasangan pengantin warga Bangla itu ditangkap, begitu juga dengan tuan rumah yang menganjurkan majlis itu juga ditahan. Kemudian saya minta dia menunjukkan rumah imam yang menikahkannya yang tidak jauh dari situ. Imam nikah itu ditahan. Di dalam rumah itu, terdapat banyak surat nikah Bangla yang masih kosong, siap dicop tetapi nama penganti belum ada. Inilah dia sendikit nikah palsu, kononnya mereka nikah di Bangla tetapi sebenarnya nikah di negara kita. Kesemuanya ditahan dan didakwa di Mahkamah Syariah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Dipersilakan komen.