Waktu saya jadi penguatkuasa JAIJ dulu, satu hari saya dapat laporan ada wanita nak terjun dari tingkat 8, Pangsapuri Saujana, Johor Bahru. Keliru dengan aduan tersebut, apabila terima aduan itu saya minta orang itu buat aduan kepada polis kerana saya rasa, tiada kena mengena dengan tugas saya. Tapi yang telefon saya itu adalah anggota polis peronda dan meminta saya datang segera ke tempat kejadian.
Hari itu hari Ahad, lebih kurang jam 9 pagi, saya sedang minum teh tarik dan makan roti canai di kedai mamak. Aduan sebegini pada fikiran saya tidak perlu dilayan. Bagaimanapun anggota polis ini bersungguh-sunggh supaya saya datang malah menawarkan untuk kereta peronda datang untuk mengambil saya. Merasakan ada sesuatu yang sangat penting, akhirnya saya segera ke Pangsapuri Saujana seperti alamat yang diberikan. Dalam perjalanan, saya telah menghubungi 3 orang penguatkuasa lagi untuk memintanya terus ke lokasi.
Sampai saja di tempat kejadian, saya dikejutkan dengan suasana seperti seolah-olah ada pengembaraan filem. Ada ramai polis, bomba dan orang ramai berkumpul melihat satu aksi cemas, seorang wanita hendak terjun dari tingkat 8. Ada juga wartawan yang sudah siap sedia menunggu kedatangan penguatkuasa, gambar saya di ambil. Saya pada mulanya tertanya-tanya, apa yang boleh saya bantu dalam kes ini. Kemudian saya dimaklumkan, bahawa wanita itu telah menyerbu sebuah rumah di tingkat 8 sendirian.
Di dalam rumah itu ada suaminya bersama perempuan lain, bagaimanapun suaminya di dalam rumah itu tidak membuka pintu. Jadi, dia seperti kebingungan dan mahu penguatkuasa segera menangkap suaminya dengan wanita itu atas kes khalwat. Sekiranya penguatkuasa tidak mengambil tindakan, dia mengancam untuk terjun dari tingkat 8 ke bawah. Itu rupanya cerita sebenarnya.....
Oklah, saya ketuk rumah itu, sebelum itu saya menenangkan wanita itu dan memintanya jauh dari situ supaya tidak mengganggu tugas saya. Bila diketuk, pintu tetap tidak dibuka. Kemudian, saya gunakan kuasa untuk memecah pintu dengan menggunakan alat tertentu. Separuh jalan untuk memecah pintu, pintu telah dibuka dari dalam. Kami masuk rumah dan mememui satu pasangan yang bukan suami isteri kemudian ditangkap serta mengarahkan mereka berdua ikut ke balai polis. Keadaan di luar rumah tenang, isterinya yang buat kecoh tadi sudah tiada, tak tahu pergi ke mana.
Apabila kami dan pasangan yang ditangkap itu dibawa ke bawah menaiki lif, tiba-tiba isterinya dan beberapa lelaki yang dipercayai adik beradik isterinya telah cuba untuk menumbuk dan memukul suaminya. Kami penguatkuasa cuba meleraikan sehingga leher saya hinggap satu penumbuk. Pasangan yang ditangkap itu segera dibawa ke dalam van penguatkuasa. Waktu saya hendak menutup pintu van dan melindungi lelaki tadi, tiba-tiba satu bungkah kunci dibaling oleh isterinya itu dan terkena kepala saya sebelah kanan di atas telinga.
Rasanya tentu sakit sekali, tetapi kena tahan saja dan buat-buat tak sakit. Maklumlah sedang berlakon dalam sebuah filem, saya sebagai hero waktu itu... hehehe... Maklumlah waktu itu, kami penguatkuasa JAIJ jadi perhatian orang ramai yang berkerumun dan tidak ketinggalan juga beberapa wartawan yang dari tadi tak henti-henti ambil gambar.
Kemudian terus ke Balai Polis Sentral Johor Bahru. Di sana baru saya tahu, wanita itu berniaga di sebuah kedai makan di Johor Bahru yang kekadang saya makan di situ, suaminya bekerja kerajaan, main kayu tiga. Lelaki datang ke rumah wanita anak dara di pangsapuri itu tapi kantoi dengan bini.
Apa kesudahannya? Jangan biarkan tergantung.
BalasPadamMasih kekalkah mereka? Apa jadi dengan suaminya?
Moga jadi panduan dan teladan.
Kemudian, pasangan ini didakwa dan mengaku salah di Mahkamah Syariah. Perkara berkaitan pasangan suami isteri ini saya kurang pasti, maklumlah banyak kes lain.
BalasPadamYang saya pasti, adalah berkaitan tangkapan kerana saya waktu itu sebagai penguatkuasa.
x nak buat filem? hehehe
BalasPadam