Untuk Memilih Tajuk Artikel Dalam Blog Ini, Sila Taip Perkataan di sini.

05 November 2011

Teks Khutbah Hari Raya Haji Negeri Johor

Hari ini kita dianugerahkan lagi dengan sambutan idul adha. Kita berada di dalam hari ibadat dengan penuh kegembiraan. Ketahuilah, bahawa setiap perayaan yang disyariatkan oleh Allah Taala, ada bersamanya pengajaran. Iaitu, pengajaran yang terkandung dalam idil adha adalah, kesatuan ummah. Walaupun terdiri dari pelbagai bangsa dan bahasa, warna kulit, budaya dan Negara. Umat Islam adalah umat yang bersatu dengan mengadap kiblat dan sujud kepada Tuhan yang satu, iaitu Allah Rabbul Alamin.

Lihatlah bagaimana Allah Subhanahu Wataala mewajibkan semua umat Islam, melakukan ibadat haji agar berkumpul di satu tempat. Dengan niat yang sama dan mengucapkan ucapan talbiah, tahmid dan takbir yang sama, menunjukkan umat Islam, umat yang bersatu.
Firman Allah Taala, Surah Ali Imran 103:
Bermaksud : Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada Allah (iaitu agama Islam). Dan janganlah kamu bercerai-berai, dan kenangkanlah nikmat Allah kepada kamu, ketika kamu bermusuh-musuhan, (iaitu pada zaman jahiliyah dahulu). Lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatupadu dengan nikmat Islam). Maka jadilah kamu dengan nikmat Allah itu, orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah). Lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keterangannya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayahnya..
Allahu akbar….. Allahu akbar….. Allahu akbar….. Allahu akbar…..Allah maha besar, Allah maha besar, Allah maha besar, Allah maha besar… Muslimin muslimat yang dirahmati Allah sekalian.
Idul Adha juga dinamakan Hari Raya Korban kerana salah satu amal ibadat yang disunatkan pada hari ini, ialah melaksanakan ibadat korban.
Firmah Allah Taala’, Surah Alkauthar 1-3:
Bermaksud: Sesungguhnya kami telah menunaikan kepada mu (wahai Muhammad) kebaikan yang banyak. Oleh itu, kerjakanlah solat kerana tuhan mu semata-mata dan sembelihlah korban. Sesungguhnya orang yang bencikan engkau, dialah yang terputus (dari mendapat sebarang perkara yang diingininya).
Berdasarkan kepada firman Allah tersebut, jumhur ulama berpendapat, bahawa hukum melakukan ibadat korban adalah sunat muakkad, iaitu sunat yang sangat dituntut. Kedudukannya lebih tinggi daripada sunat biasa. Manakala nilai pahalanya pula, lebih dan amat besar.
Muslim muslimat yang dikasihi Allah sekalian…
Di dalam peristiwa pengorbanan Nabi Allah Ibrahim a.s dan anaknya Nabi Ismail a.s, seorang bapa telah diperintahkan supaya menyembelih anak kesayangannya. Kita dapat mengambil kesimpulan di antaranya ialah:
Kepatuhan dan ketaatan anak terhadap bapanya begitu hebat. Betapa sucinya pengorbanan yang telah dilakukan oleh kedua-dua iaitu bapa dan anak. Dengan keimanan kepada Allah yang begitu tinggi, maka keduanya sanggup untuk menjungjung perintah Allah Subhanahu Wataala.

Sebagai umat Islam, sudahkah kita berkorban untuk menegakkan syiar Islam ? Seorang bapa sudahkah berkorban memberikan didikan yang sempurna kepada anaknya ?Seorang suami, sudahkah kita berkorban untuk kebahagian rumahtangga ? Dan sebagai anak watan, adakah kita sudah menunaikan satu pengorbanan suci untuk tanahairnya ?
Sabda Rasulullah SAW:
Bermaksud: Barangsiapa yang mempunyai kelapangan untuk berkorban tetapi tidak dilakukannya, maka janganlah dia datang mendekati tempat kami bersolat ini.”
Dari hadis ini, dapatlah difahami bahawa, ibadat korban itu amat penting sehingga hukumnya seolah-olah lebih kepada wajib terutamanya kepada orang yang berkemampuan dan mempunyai rezeki yang lebih.
Allahu akbar….. Allahu akbar….. Allahu akbar….. Allahu akbar…..Allah maha besar, Allah maha besar, Allah maha besar, Allah maha besar..Muslimin muslimat yang dikasihi sekalian.
Jelaslah kepada kita bahawa ibadat korban itu disunnahkan sebagai satu latihan dan ujian bagi kaum muslimin untuk memupuk semangat berkorban dengan cara mengeluarkan sebahagian dari nikmat dan rezeki yang dilimpahkan oleh Allah untuk dirasai oleh golongan fakir miskin, seterusnya dapat meninggikan lagi syiar Islam.
Sebagai kesimpulannya. Antara nilai-nilai yang terkandung dalam ibadat korban antaranya ialah :
1.      Melatih kaum muslimin supaya sentiasa bersedia berkorban sebahagian rezekinya dan dikmat kurniaan Allah demi kepentingan orang lain.
2.      Sebagai satu cara mendekatkan diri kepada Allah Taala.
3.      Menghidupkan sirah Nabi Ibrahim a.s yang kemudian disunnahkan oleh Rasulullah.
Allahu akbar….. Allahu akbar….. Allahu akbar….. Allahu akbar…..Allah maha besar, Allah maha besar, Allah maha besar, Allah maha besar….
Oleh itu, marilah kita bermuhasabah diri tentang, apakah bentuk pengorbanan yang mampu kita laksanakan ? Semoga, dengan pengorbanan yang kita lakukan, mendapat keberkatan dari Allah dan kita tergolong dalam golongan hamba yang bersyukur.
Di kesempatan ini juga, marilah kita berdoa agar ahli keluarga, sahabat handai kita, serta umat Islam seluruhnya yang sedang menunaikan ibadat Haji di Tanah Suci Mekah pada saat ini, sentiasa dilindungi oleh Allah dan semoga dipermudahkan amalan mereka sehingga memperolehi Haji yang mabrur serta selamat pulang ke tanahair.
Firmah Allah Taala, Surah Al-Haj ayat 37:
Bermaksud: Daging dan darah binatang korban atau hadian itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepadaNya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan taqwa dari kamu. Demikianlah ia memudahkan binatang-binatang itu bagi kamu supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat nikmat petunjuknya. Dan sampaikanlah berita gembira (dengan balasan yang sebaik-baiknya) kepada orang-orang yang berusaha, supaya baik amalannya.
Sekian.

3 ulasan:

  1. Assalamualaikum tuan kadimohon keizinan kongsi di blog saya,tq

    BalasPadam
  2. Dipersilakan . Tapi sila buat pautan ke blog saya ni.

    BalasPadam
  3. Saya pun ambil dari ustaz.
    Telah saya pautkan ke blog ustaz.
    Terima kasih

    BalasPadam

Dipersilakan komen.