Untuk Memilih Tajuk Artikel Dalam Blog Ini, Sila Taip Perkataan di sini.

18 Julai 2010

Sudah Nasibku 'Mat Burger' : Episod 30

Malam itu, Makcik Siah telefon Mak Man. Dah tentu ada cerita baru dan menarik tu. Yer, Azura belum berpunya lagi. Jadi mak Man nak jodohkan Man dengan Azura, nampak secocok gitu ikut bahasa Indon. Kata Makcik Siah, dia dah beri sikit bayang-bayang pada Azura, tapi belum tepat lagi.

"Zura, macam mana kalau ada pemuda kampung ni nak masuk meminang Zura ?". Tanya Makcik Siah bila tahu Azura belum berpunya. Azura tersenyum malu, sesekali menutup mulutnya.

"Hehe...Siapa tu makcik ?". Tanya Azura malu-malu.

"Nantilah makcik beritahu lepas ni. Tapi orang kampung ni, kerja di Johor Bahru". Kata makcik Siah.

Makcik Siah tak beritahu sepenuhnya pada Azura kerana mak Man pun belum tanya Man perkara ni. Manalah tahu, beritahu Azura tiba-tiba Man tak jadi pulak, haru juga.

Mak Man serba salah juga, bagaimana nak beritahu pada Man dan bilakah masa yang sesuai. Mak Man berbincang dengan ayah Man di dalam bilik.

"Bang. Macamana kalau kita nak jodohkan Man dengan anak sedara makcik Siah tu ?". Tanya Mak Man.

"Bagus le tu. Saya sokong. Daripada dia dengan perempuan orang KL tu, lebih baiklah dengan orang kampung juga". Ulas ayah Man.

"Yer. Tapi macammana nak beritahu Man. Saya rasa macam payah nak buka mulut pada Man tu". Kata mak Man.

"Alaaa, apalah yang payah sangat. Beritahu jer dia. Lambat-lambat nanti, Man dah balik JB lagi payah". Kata ayah Man.

Esoknya, waktu sarapan pagi, waktu Man seorang saja di meja makan, mak Man bertanyakan Man. Adik-adik Man semua ke sekolah.

"Man...Ingat tak anak sedara Makcik Siah semalam tu. Kalau mak meminang dia untuk kau, kau nak ker ?". Tanya mak Man.

"Anak sedara yang mana ni ?". Tanya Man.

"Yang semalam tu, anak dara yang hidangkan makanan kat rumah makcik Siah tu". Jelas mak Man.

"Oooo itu. Tak tahu nak cakaplah mak". Kata Man.

"Man, jangan menghampakan mak dah ayah, Man....." Kata mak Man. Tiba-tiba mak Man menangis dan mengesat-ngesat air mata dengan lengan bajunya. Man terdiam.

"Man, sebelum ni kau dah hampakan harapan mak nak jodohkan dengan anak kawan yasinan mak tu. Kali ni janganlah tolak, Man....". Kata mak Man dan terus menangis. Man terus diam.

"Man, kalau kau nikah cepat-cepat, ada juga orang yang jaga sakit pening kau. Kau tu belum baik sangat lagi. Mak bukan tak nak ikut kau ke Johor Bahru tu, nak tengok-tengokkan kau... Adik-adik kau ramai kat kampung ni, nanti makan pakai abah dan adik kau tak ada sapa yang jaga....

"Man, mak tengok anak sedara makcik Siah tu baik, rajin menolong di dapur, pandai hormat orang tua, rupa pun ada. Sesuai dengan kau Man, mak dan ayah dah setuju semua sekali. Tunggu kau jer Man...." Kata mak Man.

"Tunggu Man ? Mak, Man..... Man serba salah mak..." Kata Man.

"Serba salah apa ? Man, Man masih mengharapkan Yanti ?" Kata mak Man.

"Yer mak. Man terkenangkan Yanti. Dia gadis yang pertama kali Man jatuh cinta. Mana mungkin Man nak lupakan Yanti". Kata Man.

"Man, dengarlah nasihat mak......" Kata mak Man dan mak Man semakin deras mengeluarkan air mata.

"Mak nak anak mak bahagia. Tak kiralah sapa pilihan anak mak, tapi mak nak anak mak bahagia dan hidup tak ada masalah. Abah kau tak berkenan dengan Yanti dan mintak kau pulangkan duit 10 ribu tu. Man, kalau kau tak nak bayar 10 ribu tu, nanti mak bayarkan. Mak boleh pinjam duit mana-mana...." Kata mak Man.

"Mak, jangan cepat buruk sangka dengan Yanti, dia gadis yang baik. Man percaya duit 10 ribu tu pemberian ikhlas dari Yanti, dia tak mintak apa-apa balas. Sebab tu Man tak pulangkan sampai sekarang". Jelas Man.

"Man, mak tiap hari memikirkan duit 10 ribu tu, sampai mak tak lena tidur malam. Mak tahu tujuan Yanti beri duit tu, sebab dia nak kawin dengan Man, betul kan ?" Kata mak Man.

"Tidak mak, Man tak fikir begitu. Yanti yang Man kenal, dia tak suka minta balas kalau menolong orang dalam kesusahan..... Mak, bagaimana Man boleh sumudah itu nak merubah  hati Man pada Yanti" Kata Man.

Mak Man sedikit kecewa dan sedih kerana hasrat nak jodohkan Man dengan anak sedara Makcik Siah tidak berhasil. Sebagai seorang ibu, kalau anak kecil, bolehlah dipaksa atau dimarah. Tapi Man dah besar panjang, dah boleh bawa diri sendiri. Oleh kerana hasrat mak Man begitu tinggi nak jodohkan Man juga, mak Man beritahu bapa Man pula dalam usaha nak lembutkan Man. Waktu makan tengahari, ayah Man, mak Man dan Man makan di dapur.

"Man. Lupakan sajalah perempuan KL tu, dia tak boleh membahagiakan kau..."Kata ayah Man dengan suara yang agak tinggi.

Man terdiam dan tak membantah. Man nampak, ayah dia sudah mula naik angin. Pada Man, itu bukan berbincang tapi seakan memaksa pula.

"Kerana perempuan tu, kau kena belasah kan ?" Kata ayah Man.

"Tidak, tidak..."Kata Man sambil mengeleng.

"Tidak kata kau Man ?" Tengking ayah Man lagi.

"Sabar bang, sabar....Ni kan tengah depan rezeki ni. Tak baik marah-marah macam tu". Kata mak Man yang kurang senang dengan ayah Man yang menengking sebegitu. Tapi ayah Man tak peduli semua itu, dia sudah naik angin.

"Anak sekarang, dari kecil mak bapak bela, sampai dah besar melawan cakap orang tua !" Kata ayah Man. Man terus senyap dan tak mahu berkata-kata lagi. Dia cuma menahan telinga saja, terimalah apa saja yang ayah dia nak kata. Katalah sepuasnya, bisik hati Man.

"Kau kena pukul, nasib baik tak apa-apa. Kalau mati ke cacat ke, sapa yang susah! Kau tergila-gila sangat perempuan KL tu, pergilah, pergi, pergi.... Kau nak keluar rumah pun pergi, pergi, pergi...Kalau kau susah nanti, jangan cari mak bapak"Kata ayah Man.

"Bang, sabar bang. Tak baik cakap macam tu bang. Mengucap bang...". Kata mak Man, kemudian mak Man menangis.

Ayah Man terus berhenti makan dan menghempas pinggan tapi tak berapa kuat. Ayah Man terus naik ke atas rumah. Rupanya perbualan dan pertengkaran tadi didengari oleh adik Man iaitu Syira dan Nizar yang baru balik dari sekolah naik moto kapcai yang dipandu Nizar. Dalam bilik, Syira menangis sendirian. Dia tahu, apa punca pertengkaran itu dan inilah kali pertama dia lihat pertengkaran sebegitu dalam keluarganya. Hampir tak pernah ayah Man naik angin seperti itu sebelum ni. Syira tahu, ini ada kaitan dengan Yanti.

Syira sedih sebab ayah Man menghina Yanti sebegitu, pada Syira, Yanti perempuan yang baik. Syira ingat sangat kata-kata peransang Yanti supaya Syira belajar pandai-pandai sehingga berjaya masuk universiti. Hingga sekarang, Syira dan Nizar berubah jadi pelajar yang rajin dan cemerlang di sekolah. Syira STPM dan Nizar SPM tahun ini.

Man start kereta dan keluar rumah dalam keadaan tergesa-gesa.  Tak sempat mak Man nak menahan Man. Sesiapa pun tak tahu ke mana Man pergi. Mak dan ayah Man terkejut melihat tingkah laku Man yang memecut kereta di depan rumah, rasa macam nak terlanggar pokok kelapa saja. Man kecewa dengan ayahnya, kenapa dia yang dah besar ditengking sebegitu oleh ayahnya. Semua risau dengan Man, tak tahu Man ke mana. Hingga ke petang, Man belum balik-balik lagi. Mak Man cuba telefon Man, tapi telefon itu ditutup. Ke mana Man pergi ? Apa yang dah berlaku pada Man ?


3 ulasan:

  1. Oh...saspen...saspen...
    dah macam astana idaman, beratus ratus episod nyer..
    mujur jalan cerita nya laju dan ada turun naik

    ~Dee

    BalasPadam
  2. Tak sabar2 nk tunggu kesudahan citer ni...mcm drama bersiri pulak

    BalasPadam
  3. mmg suspen tpi sgerakn habis cite ni..byk kje nk buat ni..

    BalasPadam

Dipersilakan komen.