Untuk Memilih Tajuk Artikel Dalam Blog Ini, Sila Taip Perkataan di sini.

17 Februari 2014

Bini Tak Izin Suami Kawin Lagi, Tapi tetap Nak Kawin Juga (Episod 1)

Lelaki umur 56 tahun kerja mengusahakan kebun dengan pendapatan 7 ribu hingga 16 ribu sebulan. Perkahwinannya kali pertama tidak panjang jodohnya dan bercerai lebih 30 tahun dulu serta mempunyai seorang anak yang dijaga bekas isterinya. Kemudian, lebih 20 tahun lalu dia berkahwin dengan seorang wanita dan dikurniakan 3 orang anak.

Sekarang umur lelaki ini 56 tahun dan isterinya berusia 44 tahun. Isterinya sekarang berniaga dengan pendapatan lebih kurang RM 2,000 sebulan. Lelaki ini berkenalan dengan seorang gadis berusia 25 tahun lebih kurang setahun lamanya. Mereka bersetuju untuk bernikah dan bapa gadis ini pun setuju juga. Bila ditanya oleh kawan-kawan, kenapa hendak berkahwin, jawapannya adalah, gadis ini lebih cantik kalau nak dibandingkan dengan isterinya.

Yer ler, kalau dah umur 25 tahun nak dibandingkan dengan 44 tahun, kebiasaannya memanglah yang 25 itu lagi cun. Contohnya macam kita tengok artis yang baru-baru ini yang umur 20-an, kita bandingkan dengan pelakon lama yang sekarang dah 40-an, maka tentulah yang 25 ini lebih cantik.

Tentangan Isteri

Lelaki ini tak sembunyi-sembunyi, dia gentlemen bukan gentelmen. Dia terus terang dengan isteri dia dengan nyatakan nak kawin dengan perempuan ini. Dia kata dia mampu dengan pendapatannya untuk menanggung dua isteri dan anak-anaknya. Untuk isteri pertama dia sudah siapkan rumah dan kereta. Disamping itu dia ada beli rumah yang dibuat rumah sewa yang dalam hatinya, boleh duduk dengan isteri mudanya nanti.

Isteri dia membantah dan tak setuju. Pada isteri dia, dia tidak boleh menerima suami dia kawin lagi walaupun dijanjikan dengan mahligai emas.

"Benda lain saya boleh kongsi, tapi batang paip saya tak boleh kongsi". Begitulah lucahnya ayat yang diucapkan kepada suami dia. Hehe, tergelak juga saya bila si suami ini bercerita kisah benarnya ini.

Tetap Nak Kawin

Tapi lelaki ini tetap nak kawin dan macam tak ada siapa boleh halang. Ibarat angin menerjah ke tubuh kita. Bagaimana kita boleh halang angin itu dari bertiup walaupun kita tahan dengan tangan kita. Angin itu tetap melalui celah-celah jari kita. Dia tetap nak kawin juga. Tapi bagaimana ? Sanggupkah dia harungi semua ini dengan bernikah juga walaupun isteri tak terima dia.

....Kita ikuti sambungannya pada episod kedua nanti.

12 Februari 2014

Baru Sedar Suami Ada Isteri Lagi Satu Selepas Suami Meninggal Dunia

Isteri awal 40-an dan suami lewat 40-an berkahwin kira-kira 20 tahun lepas dan dikurniakan 5 orang anak. Hidup mereka bahagia bersama anak-anak. Ditakdirkan, suaminya meninggal dunia secara mengejut kerana serangan jantung di rumah dan isteri membawanya ke hospital. Doktor mengesahkan suaminya telah meninggal dunia.

Yang mengejutkan si isteri adalah kehadiran seorang wanita 30-an dan seorang anak lelaki berumur lingkungan 4 tahun di rumahnya selepas solat jenazah. Wanita 30-an itu meminta izin kepada keluarga si mati untuk melihat jenazah yang sudah dikafankan. Kehadiran wanita dan anaknya ini turut ditemani ibu dan bapa wanita ini dalam lingkungan 60-an.

Dihalang

Selepas dihalang, akhirnya bapa kepada wanita ini mendakwa yang anaknya adalah isteri kedua kepada simati. Berlaku pertengkaran di antara keluarga simati dengan wanita ini. Melihat keadaan seperti pergaduhan ini, pak imam bersama beberapa orang tua yang selesai solat jenazah telah meredakan keadaan. Pak imam tak mahu berlaku pergaduhan seperti itu pada hari jenazah hendak dikebumikan. Bapa kepada wanita ini kemudiannya menunjukkan surat nikah yang menunjukkan simati dan wanita ini telah bernikah kira-kira 5 tahun lepas. Isterinya mempertikaikan surat nikah itu kerana selama hidup, suaminya tidak pernah memberitahunya dan tidak pernah terlintas atau curiga yang suaminya sudah bernikah lain.

Wanita ini merayu supaya diberi peluang terakhir untuk diberi kebenaran bertemu suaminya yang kini telah kaku dan tidak bernyawa itu. Atas pertimbangan pak imam dan beberapa orang tua, wanita ini dan anaknya  dibenarkan melihat dan mencium dahi suami dan bapanya. Walaupun Pak Imam juga kena marah dan kena bebel dengan isteri pertama, dia tetap membenarkan wanita ini melihat suaminya. Masa itu, isteri dan lima orang anak simati menangis kesedihan dan tidak menyangka yang suaminya sudah 5 tahun berkahwin dengan wanita lain.

Di Tanah Perkuburan

Di tanah perkuburan iaitu semasa pak imam membaca talkin, wanita bersama anak dan ibubapanya sekali lagi hadir. Kali ini berlaku perkara yang tidak sepatutnya berlaku. Anak sulung perempuan yang  berumur 20-an telah menghalau sambil membaling dengan batu dan mengeluarkan kata-kata kesat. Pak imam yang sedang baca talkin ini terpaksa memendekkan bacaannya apabila keadaan semakin tidak terkawal. Wanita ini dihalau seperti peminta sedekah dan kehadirannya di perkuburan itu tidak disenangi oleh keluarga suaminya. Bagaimanapun, wanita ini tetap tidak mahu berganjak dari situ.Wanita ini turut mengalami sedikit kecederaan dan keretanya sedikit kemik terkena batu. Orang ramai yang hadir menenangkan keadaan dan menyuruh wanita ini pulang sahaja. Orang menasihati wanita ini supaya balik dahulu dan kubur suaminya boleh dilawati pada  hari yang lain.

Dua Tahun Berlalu

Peristiwa kematian suami ini sudah dua tahun berlalu. Menceritakan perasaan sedihnya kerana kematian suami tercinta dan perbalahan masa majlis perkebumian, wanita ini redha dengan ketentuan Allah Taala. Selepas kematian, isteri kedua ini sedikit pun tidak  meminta harta pusaka peninggalan arwah suaminya. Harta yang ditinggalkan kira-kira RM 300,000 termasuk duit, rumah dan kereta, semuanya isteri kedua tidak menuntut apa-apa. Dia merasakan gajinya dalam lingkungan 3,000 sudah cukup untuk dirinya dan untuk membesarkan anaknya. Katanya, sepanjang menjadi isteri kedua selama 5 tahun, dia tidak pernah meminta-minta dari suaminya termasuk makan minum dan keperluan harian. Apa yang diberi oleh suami dia ambil tapi kalau suami tidak beri, dia redha sahaja. Dia tahu, suaminya bukanlah orang kaya tetapi biasa-biasa sahaja.

Kira-kira 5 bulan selepas kematian suaminya, isteri pertama dan kedua ini akhirnya jadi baik. Malah, 5 orang anak isteri pertama menganggap anak isteri kedua sebagai adik mereka. Bila ditanya bagaimana boleh berbaik seperti ini, katanya ia lahir dari  kehendak isteri pertama yang bersimpati dengan nasib isteri kedua dan anaknya. Isteri pertama dan anak-anak datang menziarahi ke rumah isteri kedua. Bermula dengan itu, mereka seperti sahabat baik dan sering bantu membantu.

Untuk menjadi rakan Facebook saya, klik sini.

09 Februari 2014

Tidak Eloklah Kalau Pasal Bola Pun Nak Bersumpah Guna Al-Quran



Pada saya, bersukan adalah untuk menjaga kesihatan selain merapatkan hubungan silaturrahim sesama kita. Jadi, tidak baiklah kalau hasrat murni di dalam bersukan ini dicemari dengan pergaduhan dan permusuhan sesama kita. Apa yang saya lihat sekarang, mutu sukan bolasepak kita masih ketinggalan jauh dengan negara lain. 

Saya sempat berada dan menjadi peminat bolasepak negara tahun 70-an dan 80-an, iaitu pada masa itu pasukan bolasepak kita disegani. Pasukan bolasepak negara setanding dengan pasukan lain  gergasi seperti Korea Selatan, Jepun dan Ghana dalam Pestabola Merdeka. Walaupun sudah jauh ketinggalan berbanding dahulu, sekarang saya lihat minat rakyat kita kepada bolasepak semakin meningkat dalam setahun dua ini.

Pada saya, beberapa permasalahan yang berlaku hendaklah diselesaikan dengan baik. Kalau di gelanggang, kita ada pengadil dan penganjur. Manakala di luar padang, kita serahkan kepada pihak polis menyelesaikan sekiranya ada laporan yang melibatkan jenayah seperti pergaduhan. 

Perlukah Bersumpah Guna Quran?

Ada kenyataan dari satu pihak yang hendak bersumpah menggunakan Al-Quran bagi menegakkan satu hujah yang melibatkan perselisihan dalam sukan bolasepak ini. Saya tak mahu  ulas panjang berkenaan hal ini. 

Pada saya, eloklah pihak berkuasa seperti Majlis Fatwa Kebangsaan  menjelaskan mengenai isu ini dan membuat satu kenyataan bagi meredakan isu ini. Iaitu, perlukah bersumpah menggunakan Al-Quran dalam isu-isu melibatkan sukan atau perbalahan yang berkaitan dengan sukan ini?

Perkara mengenai sumpah-sumpah ini tidaklah boleh dilakukan sebarangan dan perlu ada garis panduannya. Kalau perkara ini berlaku pada tempat yang tidak sepatutnya, maka kesucian Islam akan tercemar.

29 Januari 2014

Kenangan Bersama Tunang di Rumah Sewa Sebelum Nikah

Lelaki berumur 30-an, kerja swasta dengan gaji lebih kurang RM2,500 manakala  tunangnya  berumur 20-an juga kerja swasta dengan gaji RM1,0000. Hari itu mereka berdua pergi ke Kelantan menaiki kereta bersama untuk menguruskan urusan perkahwinannya kira-kira 3 bulan lagi.

Sampai saja di Kluang lebih kurang jam 11 malam, lelaki terus membawa tunangnya ke rumah sewanya. Katanya mereka terus tidur dengan alasan kepenatan. Tak lama selepas itu, penguatkuasa Jabatan Agama dapat aduan dari orang awam dan pemeriksaan pun dibuat. Tertangkaplah pasangan ini atas kesalahan khalwat yang berdua sahaja dalam rumah tersebut.

22 Januari 2014

Budak Tingkatan Dua Kena Cekup Khalwat Di Rumah Pakwe

Lebih kurang jam 2.30 petang iaitu selepas balik sekolah, seorang pelajar sekolah wanita pergi ke rumah pakwenya. Lelaki itu bekerja sebagai pembantu kedai makan dan waktu itu tiada orang lain di rumah kerana ibunya belum balik kerja lagi.

Tak lama selepas perempuan ini masuk rumah, ada seorang buat aduan kepada penguatkuasa dan penguatkuasa terus buat pemeriksaan. Kena tangkaplah pasangan ini atas kesalahan khalwat. Kemudian ibu perempuan dan ibu lelaki ini datang jamin anak masing-masing.

11 Januari 2014

Minyak Hitam Tiruan, Ramai Mana Yang Dah Kena Tipu?


Beberapa hari lepas, dalam berita tv ada cerita pasal serbuan pihak berkuasa ke sebuah kilang memproses minyak enjin atau minyak hitam tiruan. Serbuan itu adalah sebuah kilang yang memproses dan membotolkan pelbagai jenis minyak hitam. Menurut pihak berkuasa, kemungkinan minyak tersebut adalah minyak hitam kitar semula atau bukan minyak hitam tulen. Kilang itu juga membotolkan minyak hitam itu dengan pelbagai nama dan jenama. Tahniah kepada pihak berkuasa kerana mengambil tindakan. Dengan tindakan itu, telah berjaya menyelamatkan jutaan ringgit wang rakyat dari terus tertipu.

Jual di Bengkel dan Kedai Alatganti

Minyak hitam itu diedar dan dijual di sebahagian bengkel seluruh negara dan kedai alat ganti kenderaan. Pembeli sukar untuk membezakan antara minyak hitam tulen dan tiruan sehingga selama ini sudah ramai yang tertipu. Pengeluar barang tersebut, termasuk pengedar dan penjual sudah untung entah berapa banyak dengan menipu dengan cara ini dan entah berapa tahun atau puluh tahun mereka buat kerja menipu seperti ini.

Saya sendiri selalu beli minyak hitam di kedai alat ganti  dan ada pengalaman juga dengan minyak hitam tidak tulen ini. Dalam tahun 2008 dulu, saya dapat satu minyak hitam di sebuah kedai alat ganti dengan harga murah. Kemudian saya pergi ke sebuah kedai yang terkenal menjual alat ganti Honda di Johor Bahru. Bila saya pertikai dia jual minyak hitam yang sama dengan harga yang lebih tinggi, dia ambil masa yang panjang untuk menerangkan kepada saya. Dia menunjukkan pada saya perbezaan antara minyak hitam tulin dengan tiruan. 

Minyak Hitam dan Minyak Gear

Dia juga menunjukkan minyak gear auto yang ori dan tiruan pada saya. Dia keluarkan satu buku dan terangkan kepada saya. Dia juga pergi ke stor dia dan bawa satu botol minyak gear auto yang dah kosong dan satu lagi minyak gear yang masih ada isi. Dia tanya saya, apakah perbezaan antara kedua-dua botol itu? Lama saya fikir dan belek kedua-dua botol itu tapi saya tak dapat jawapannya. Rupa-rupanya ada satu cop kecil yang ditebuk dengan elok bermakna barang ori. Manakala satu lagi cop itu cuba ditiru tetapi tidak sama, menunjukkan itu tiruan. Saya sikit pun tak menjangka itu adalah tiruan.

Bahaya Minyak Gear Tiruan

Kepada sesiapa yang pakai kereta Peugeot atau Citroen, kereta itu hendaklah menggunakan minyak khas yang ori sahaja. Kalau kita gunakan minyak lain atau yang katanya ori tapi tiruan, tak lama lagi rosaklah gear auto kita. Jadi, berhati-hati sangatlah kalau tukar minyak gear, pastikan ori.

Kesan Minyak Hitam Tak Ori

Saya tak berapa nampak mengenai kesan kita pakai minyak hitam tak ori sehingga boleh rosakkan enjin kereta kita. Maknanya, apapun minyak hitam yang kita pakai, tidak menyebabkan enjin kereta kita rosak. Kalau pandangan saya ini betul, maka semakin berleluasalah penjualan minyak hitam tiruan di pasaran. Cuma, saya rasa, kalau kita guna minyak tak ori, power kereta kita akan berkurangan sedikit atau berat sikit sahaja.

Dah ramai orang kita kena tipu dengan minyak hitam tiruan ini. Ramai orang pergi ke bengkel kereta nak tukar minyak hitam dan mereka tidak ada kepakaran untuk mengetahui minyak itu tulen atau tidak. Oleh itu, penguatkuasaan pihak berkuasa ke bengkel-bengkel, kedai alatganti kereta dan kilang pembungkusan perlulah berterusan dan tegas.

Pengeluar Tak Mahu Heboh-heboh

Saya berbual dengan seorang pomen mengenai minyak hitam ini. Katanya, minyak hitam tirun sudah lama wujud di pasaran. Pengeluar sendiri pun tahu kewujudan minyak tiruan ini. Tetapi kenapa mereka sendiri berdiam diri? Kawan saya kata, syarikat itu tidak mahu heboh-heboh, nanti orang tahu yang minyak hitam jenamanya itu banyak yang tiruan. Jadi nanti ramai orang tak mahu pakai minyak hitam itu kerana takut terkena yang tiruan. Contohnya jenama minyak hitam ABC yang dah terkenal, tiba-tiba keluar berita ada jenama ABC yang tiruan. Maka, pembeli akan  kata yang jenama ABC banyak yang tiruan dan mengelakkan dari memakai jenama ABC ini. Jadi, jenama tiruan ini terus berada di pasaran.

Guna Jenama Lain

Kekadang saya tengok ada saja jenama baru di pasaran apabila saya beli minyak hitam di kedai alatganti. Bila saya tanya, dia kata ini jenama baru yang berkualiti. Jadi, kalaulah yang dikatakan jenama baru ini adalah minyak kitar semula atau minyak entah apa-apa, penjual ada banyak ruang untuk melepaskan diri. Pertama, syarikat yang pada jenama itu tidak wujud atau tidak meniru nama jenama terkenal. Maknanya, tidak ada syarikat yang akan buat laporan mengenai penjualan minyak hitam tiruan ini.

Minyak Masak Kelapa Sawit Sebagai Minyak Hitam

Mungkin kita tak tahu dan ada juga yang tahu, kereta boleh guna minyak masak kelapa sawit sebagai minyak hitam. Kawan saya pakai kereta Proton Saga lama dan Kancil, sudah lebih 8 tahun dia guna minyak masak kelapa sawit sebagai minyak hitam. Dia ini pomen dan dia ada cerita kepada orang lain juga. Dia kata, enjin lebih ringan, bau lebih wangi dan yang paling penting jimat wang ringgit. Dia cuma keluar belanja lebih kurang RM 15 sahaja untuk 4 liter minyak masak.

Saya Tak Pernah Cuba Pun

Saya cerita saja mengenai minyak masak ini, tapi saya pun tak pernah cuba. Sebab saya tak cuba, pertama, saya servis kereta kat kedai. Rasa malu pulak nak bawa satu tong minyak masak ke kedai. Tapi saya rasa, nanti nak try juga dengan gantikan tong minyak hitam dengan minyak masak siap-siap kat rumah. 

Sebab kedua, saya takut kereta saya rosak. Yer le, kita beli kereta mahal-mahal, tiba-tiba rosak disebabkan minyak masak tu, kan ker nanti menyesal. Kawan saya tu pomen, kalau kereta dia rosak, dia boleh repair sendiri. Tapi setahu saya, kereta dia tu okey jer. Lagipun kereta dia Proton dan Kancil, kereta saya lain. Mungkin saya anggap kereta saya tak sesuai.

Kenapa Tak Cuba?

Mungkin juga kita ditakut-takutkan dan tak mahu mencuba suatu yang baru. Dunia mengiktiraf yang minyak sawit Malaysia bermutu tinggi dan kajian serta penemuan telah ada mengenai kegunaan minyak sawit sebagai minyak enjin kenderaan.

Banyak Barang Tiruan?

Kita dengar dan baca di akhbar mengenai banyaknya rokok tiruan. Pembelinya cukup ramai kerana harganya jauh lebih murah berbanding rokok yang ori. Walaupun penguatkuasaan dijalankan, tetapi bukanlah mudah untuk dibenteras. Ada pelbagai lagi barang termasuk pakaian, beg dan lain-lain. Saya yang main ping-pong pun, pernah dapat tahu kewujudan getah ping-pong dan bola jenama terkenal yang tiruan. Permainan ping-pong kita akan hilang mutu bila terkena getah tiruan. Bola ping-pong pula tak tahan lama dan kita dapat bezakan rasa apabila memukul bola berkenaan.

Wujudkan Talian Aduan

Saya cadangkan supaya pihak berkuasa wujudkan talian terus untuk membuat aduan mengenai barang tiruan ini. Tidak kiralah apa barang, asalkan boleh dikesan kesalahannya, bolehlah orang ramai buat aduan. Mungkin ada atau mungkin tidak talian aduan ini, saya pun tak berapa tahu sangat. Adalah lebih baik kalau kita hebahkan nombor telefon aduan ini dan identiti pengadu perlulah dirahsiakan.


09 Januari 2014

Ustaz Hanafiah bin Abdul Razak Penceramah Maulidurrasul Daerah Kluang


Seperti biasa, setiap tahun, daerah Kluang mengadakan sambutan Maulidurrasul dengan meriah dan mendapat sambutan yang baik. Tahun ini juga iaitu hari Selasa nanti, 14 Januari 2014 adalah cuti umum. Marilah kita hadir bersama keluarga ke Masjid Bandar Kluang dan perkarangan sekolah Lelaki Bandar di sebelah masjid untuk mengikuti program ini.

Program dimulakan mulai jam 7.30 pagi dengan perarakan lebih kurang 1 kilometer dari Dataran Tasik Kluang menuju ke masjid. Perarakan terdiri dari jabatan kerajaan, NGO dan sekolah. Selepas itu, kita akan ikuti ceramah dari seorang penceramah terkenal iaitu Ustaz Haji Hanafiah bin Abdul Razak, pegawai dari Jabatan Mufti Johor. Satu lagi sebelum saya terlupa, selepas itu semua dijemput untuk jamuan makan nasi briani di kawasan masjid.

Seminar Imam Muda 16 Januari

Satu lagi, semua dijemput hadir ke Seminar Imam Muda pada 16hb Januari, Khamis, jam 8.00 pagi di Masjid Bandar Kluang. Penyertaan terbuka kepada semua lelaki berumur 18 tahun ke atas dan tiada had umur. Peserta hendaklah bukan imam masjid atau surau yang sedia ada (kerana latihan kepada imam-imam biasa diadakan secara berkala pada masa yang lain). Program ini diadakan untuk memberi pendedahan paling asas untuk menjadi imam di rumah atau tempat lain. Juga ke arah melahirkan bakal imam pada masa akan datang. Istilah 'Imam Muda' adalah sebagai merujuk kepada bakal imam yang masih belajar menambahkan ilmu. Bayaran seringgit dikenakan.

05 Januari 2014

Rumahtangga Kucar Kacir, Isteri Ambil Syabu

Seorang lelaki 40-an kerja swasta dan isteri 40-an berniaga, sudah nikah belasan tahun dengan dikurniakan 3 orang anak. Beberapa tahun kebelakangan ini, isterinya mengambil syabu atau ais kerana pengaruh kawan-kawan perempuan. 

Suami nampak perubahan pada isterinya seperti tingkahlaku yang semakin agresif dan boleh berjaga hingga larut malam dan ada kalanya tidak tidur beberapa hari. Berpunca dari perkara kecil, boleh menyebabkan pertengkaran yang dahsyat. Suami rasa, isterinya mencuba syabu ini kerana pengalaman pahit isterinya dalam perniagaan yang pernah beberapa kali jatuh dan bangun. Tambahan pula kebelakangan ini bidang perniagaannya semakin mencabar dan ramai pesaing, akhirnya kerana pergaulan, dia terpengaruh.

Oleh kerana kedua-dua pihak iaitu suami dan isteri telah tiada jalan penyelesaian, mereka merancang untuk bercerai secara baik.

02 Januari 2014

Seminar Imam Muda di Kluang 16 Januari 2014 ... TERBUKA

Satu seminar 'Imam Muda' akan diadakan di Masjid Bandar Kluang pada 16 Januari 2014 bermula jam 8.00 pagi sehingga 12 tengahari . Penyertaan terbuka kepada semua lelaki yang berminat iaitu berumur 18 tahun ke atas. 
 
Peserta juga hendaklah bukan dari kalangan imam masjid dan surau yang sedia ada. Bagaimanapun, imam sambilan, imam sementara dan imam pelapis dibenarkan menyertai.
 
Pengisian
 
Seminar dipenuhi dengan 3 ceramah yang mencakupi kaedah asas seperti azan dan iqamah, bacaan dalam solat, wirid, doa selepas solat, tahlil dan khutbah Jumaat serta Hariraya dan lain-lain. Program ini diadakan untuk melahirkan imam dan bilal pelapis.
 
Pejabat kerajaan dan swasta atau AJK masjid boleh menghantar peserta secara berkumpulan. Bayaran seringgit dikenakan kepada setiap peserta. Sebarang pertanyaan sila hubungi:
 Puan Norazah       07- 7771213 (pejabat).



01 Januari 2014

Pengantin Bawa Kereta Tunda (Tow Truck) Masa Nikah

Seribu persoalan  juga kepada  jurunikah apabila ada kereta tunda di dalam kawasan masjid dalam satu majlis nikah. Tanpa banyak tanya, jurunikah pun nikahkan pengantin macam biasa. Pengantin lelaki umur 30-an  kerja di kilang manakala perempuan 20-an, kerja kerani.

Lepas nikah, jurunikah diajak menikmati sedikit jamuan. Sedang makan tu, pengantin lelaki dan perempuan pergi ke kereta tunda tadi dan ramai yang ambil gambar. Kemudian pengantin lelaki memandu kereta tu dan bergerak ke taman di hadapan masjid untuk sesi ambil gambar seterusnya.

Kenapa Erkk?

Jurunikah bertanya lanjut sambil tersenyum kepada keluarga pengantin yang sama-sama makan tu. Diceritakan oleh keluarga yang lelaki itu dulunya kerja pemandu kereta tunda, sekarang bekerja di sebuah kilang. Kemudian ditambah sedap cerita lagi yang pengantin lelaki ini berkenalan dengan pengantin perempuan sewaktu dia kerja pemandu trak tunda tu lebih kurang 2 tahun lalu.

"Dulu kereta perempuan terlibat kemalangan kecil dan lelaki tarik kereta itu ke bengkel. Mula-mula tu jadi gaduh bila perempuan tu tak puashati dengan bayaran. Lepas tu tak tahu pulak, boleh baik dan bercinta dan hari ini jadi suami isteri, hehehe..." . Cerita seorang lelaki hampir sebaya dengan pengantin lelaki tu.

Tersenyum juga jurunikah dengar cerita itu, hehehe.

31 Disember 2013

Jangan Sampai Suami Kawin Lain, Gunalah Produk Ni


Ada satu iklan dalam tv ni, bukan iklan pendek, tapi satu rancangan yang saya rasa berbayar tu. Sambil makan, saya tengok tv.  Seorang lelaki cakap lebih kurang begini.

"Isteri-isteri gunakanlah produk ini sebelum suami puan-puan cari lagi satu. Nanti kalau tak guna produk ni, suami kawin lagi satu, jangan nak salahkan sesiapa yer....."

Itulah lebih kurang bunyi iklan tersebut yang katanya terlajak laris punya barang. Taknaklah saya ulas panjang-panjang, ulaslah sendiri.

28 Disember 2013

Suami Lantik Penyiasat Persendirian (P.I) Untuk Mengawasi Isterinya

Pasangan suami isteri umur 40-an, mempunyai beberapa orang anak dan kedua-duanya terlibat di dalam perniagaan.  Sejak kebelakangan ini, hubungan suami isteri ini agak renggang dan ada masalah. Antara dakwaan isterinya  adalah suami yang sibuk bekerja serta mengabaikan tanggungjawab sebagai suami.

Isterinya datang ke pejabat agama untuk membuat aduan dan dalam proses memohon perceraian. Dalam keadaan sebegini, suami bertindak melantik penyiasat persendirian (P.I) berlesen untuk mengawasi pergerakan isterinya. Penyiasat ini mengawasi kegiatan isterinya termasuk perniagaan yang dijalankan dan lain-lain. Katanya, dia dapat banyak faedah dengan melantik penyiasat persendirian ini.

27 Disember 2013

Hari Terakhir Bekerja Pada Hari Jumaat Di Negeri Johor Hari Ini

Hari ini adalah hari Jumaat terakhir bekerja di Johor bagi jabatan negeri, persekutuan dan badan berkanun. Diharapkan selepas ini, swasta dan lain-lain mengikut jejak bercuti pada hari Jumaat secara berperingkat-peringkat.

Minggu lepas, saya berada di Terengganu. Ramai orang di Terengganu mengucapkan tahniah kepada negeri Johor atas perubahan semula cuti Jumaat ini. Dulu, tahun 1994 negeri Johor mengubah cuti hujung minggu dari Jumaat kepada Ahad.

Rakyat Johor sangat gembira dan menjunjung kasih kepada Sultan Ibrahim Ibni Al-Marhum Sultan Iskandar, Sultan dan Yang Dipertuan bagi Negeri dan Jajahan Takluk Johor Darul Takzim atas pengistiharan cuti ini. Semoga Allah mengurniakan taufik, hidayah, kekuataan, kesejahteraan dan pertolongan kepada Duli Yang Maha Mulia Tuanku.

Baru Sampai Barang Pos Dari UK Guna China Post


Tadi baru sampai barang yang saya beli menggunakan ebay dari UK dengan harga sepuluh ringgit Malaysia termasuk pos. Barang itu susah cari kat sini iaitu skru cover bawah kereta Peugeot saya. Sebelum ini saya ada tanya beberapa kedai alat ganti kereta tapi tak jumpa. Ada satu kedai tu kata harga satu set harganya RM 200 dan kena buat tempahan. Tapi hari ini barang saya sampai selepas 2 minggu menggunakan ebay.

22 Disember 2013

Kursus Pra Perkahwinan di Kluang 28-29 Disember (Terakhir 2013)



Atas permintaan ramai, Badan Kebajikan Pejabat Kadi Kluang akan menganjurkan Kursus Pra Perkahwinan pada 28 dan 29 Disember 2013 iaitu hari Sabtu dan Ahad. Diadakan di Pejabat Kadi Kluang, bayaran RM 120, makan minum, buku nota dan fail disediakan. Sijil tiada tarikh luput dan akan diberikan pada hari akhir kursus. Tidak diminta membawa pasangan/ tunang.

Sila daftar awal untuk mendapatkan tempat melalui mana-mana pegawai atau kakitangan Pejabat Kadi Kluang. Atau email kepada saya....   kadikluang@yahoo.com. Atau mendaftar melalui Facebook saya. Semua dijemput jadi rakan FB saya, klik sini

Pakaian baju Melayu bersongkok atau baju kurung. Berseluar jean tidak dibenarkan memasuki kursus. Saya difahamkan, pejabat Agama Batu Pahat dan Muar turut mengadakan kursus yang sama pada hari berkenaan.

17 Disember 2013

Isteri Gersang Bawa Bangla Keluar, Naik Bas, Cari Hotel Recehan

Seorang wanita umur 41 tahun dari Kulai, kerja di sebuah kilang, sudah punyai 4 orang anak. Suaminya sibuk bekerja di luar dan jarang balik rumah. Hari Isnin, kebetulan kilang tempat dia kerja giliran dia cuti. Wanita ini ambil kesempatan keluar dengan seorang lelaki Bangla umur 20-an yang masih bujang trang tang tang.

Mulanya dia orang jumpa kat stesen bas Kulai. Kemudiannya mereka berdua naik bas Kulai ke Air Hitam. Mereka buat keputusan untuk pergi ke Simpang Renggam kerana tak berapa berani berjalan berdua di Kulai. Bas bertolak dalam jam 8.00 pagi. Dalam jam 8.40 pagi mereka sampai ke Simpang Renggam dengan tambang bas RM 4.00 seorang, Abang Laa tu yang belanja.

Rupanya mereka masuk ke hotel berdua dengan sewa RM 50, yang mereka kongsi bayar separuh-separuh, perempuan tu bayar RM 25 dan Bangla tu bayar RM 25. Tak lama kemudian, kebetulan penguatkuasa Jabatan Agama buat operasi di hotel tersebut dan tertangkaplah mereka berdua dalam bilik. Mereka mengaku belum kawin. Mereka kata tak buat apa-apa dalam bilik tu, cuba berbual saja. Apa pun cakap dia orang, dah jelas mereka berdua saja dalam bilik tu dan bukan ada ikatan suami isteri, adik beradik lagilah tidak. Takkanlah kakak Melayu adik Bangla. Maka kena bawalah dia orang ke balai polis.

Maknanya cerita ini, perempuan 41 tahun dah ada suami dan ada 4 orang anak. Lelaki pula bujang. Mereka berdua mengaku kerja satu tempat. Bila disuruh cari penjamin, datanglah anak perempuan kepada wanita ini yang umurnya 20-an yang umurnya macam sebaya dengan Bangla yang kena tangkap dengan emak dia. Tak ada kata apalah anak wanita ini, nak marah, itu emak dia. 

Bini Tak Ada Masa Urut Suami Kat Rumah ?


Sabtu lepas, saya ke sebuah pasaraya dan saya singgah di sebuah kedai alat senaman. Saya tengok beberapa alat senaman dan saya diminta mencuba mesin urut badan. Alat itu berbentuk kerusi kulit dan harganya agak mahal iaitu dalam RM 4,000 lebih. Lelaki bangsa Cina umur dalam 30-an itu minta saya cuba alat itu.

Saya duduk atas kerusi itu dan bermulalah urut badan saya termasuk kaki. Bestlah juga alat tu, lagipun saya sedang tunggu isteri saya beli barang. Jadi sambil-sambil tu, baik juga kalau kena urut. Sambil urut tu, lelaki itu bercerita panjang untuk kempen supaya saya beli alat tu.

"Kalau U balik kerja, mintak U punya bini urut saya U, macam-macam dia jawab, sibuklah, nak masaklah, nak jaga anaklah, letihlah..... Lagi senang U angkat ini mesin. U tekan suis saja, dia urut sama U...."

Selesai 15 minit mesin itu urut saya, saya pun balik dan memang taknak beli pun alat tu. Bukan saya nak beli pun, tapi dia suruh saya test alat tu. Cuma kelakar juga lelaki tadi bercerita. Nasib baik isteri saya tak ada kat situ. Kalau ada, entahlah macam mana. Entah-entah kena cili sambal belacan mulut lelaki tu. Kenapalah buat contoh "U punya bini". Maksudnya saya punya bini ni. Kenapalah tak buat contoh bini orang lain, hehehe.


12 Disember 2013

Restoran Tak Letak Tanda Harga: Teh Tarik RM 1.50, Roti Canai RM1.00


Jumaat lepas saya sarapan pagi berdua di sebuah restoran di Johor Bahru. Kedai tersebut masih baru, terletak di hujung, dibuka 24 jam, berdekatannya adalah taman perumahan yang majoriti penghuni Melayu. Saya dan kawan saya minum teh tarik dua dan roti canai dua. Apabila bayar, harganya RM5.00 kesemuanya. Saya bayar saja dan tak tanya pun satu persatu. Kemudian saya tengok dari pelbagai sudut kedai tu, rupanya tidak ada tanda harga. Saya terus jalan kerana saya sudah lewat untuk ke satu program.

Satu Lagi Kedai

Hari Isnin pula, saya ada program lagi di Johor Bahru. Kali ini saya ke kedai lain tetapi nama kedainya sama dengan kedai pertama. Kedai ini terletak tak berapa jauh dengan kedai pertama, dalam 800 meter lebih kurang. Kedai ini kedai hujung, dikelilingi taman perumahan Melayu dan dibuka 24 jam juga. Saya dan kawan saya minum 2 gelas teh tarik dan 2 roti canai. Bila masa nak bayar, dia kata RM 5.00. 

Saya Tanya

Kali ini saya bertanya berapa harga teh tarik dan roti canai. Dia kata, segelas teh tarik RM 1.50 dan roti canai RM 1.00. Maknanya betullah kiraan dia RM 5.00 tu. Dalam hati saya, harga teh tarik di kedai tu mahal, biasanya RM 1.20 saja. Roti canai pula harga RM1.00 itu mahal, kebiasaannya  80 sen saja. 

Pada saya, dari segi undang-undang, harga makanan seperti roti canai dan teh tarik bukanlah barangan kawalan oleh pihak berkuasa. Harga itu terpulang kepada peniaga. Kedai yang pertama saya pergi hari Jumaat dan kedai kedua yang saya pergi hari Isnin ini adalah nama yang sama. Pada anggapan saya, pemilik atau tuan punya kedai itu adalah individu yang sama.

Peniaga jangan lupa.... saya juga ada hak sebagai pembeli. Saya perlu tahu atau mempersoalkan harga yang saya perlu bayar, kenapa begitu dan begini, saya sebagai pelanggan. Pelanggan lain juga kena prihatin dan jangan mudah diperdaya. 

Tiada Tanda Harga

Masalahnya, kedai ini tiada tanda harga. Sama ada kedai yang pertama dan kedua, tiada tanda harga bagi teh tarik dan roti canai. Yang ada tanda harga adalah makanan lain seperti lauk dan nasi. Itu pun tulisannya kecil sahaja. Setahu saya, kalau tak letak tanda harga adalah satu kesalahan. Diharapkan pihak berkuasa banyak buat pemeriksaan di restoran untuk kebaikan bersama. Kalau pemilik itu buat salah, silalah ambil tindakan ikut prosedur yang sepatutnya. Bukan satu dan dua kedai, tapi kalau boleh, kebanyakan kedai makan.

Hari Khamis, saya ke sebuah restoran 24 jam di Kluang. Kedai ini kedai hujung dan namanya berlainan dengan nama kedai pertama dan kedua tadi. Saya minum teh tarik dan roti canai satu. Bila bayar, RM 2.00 iaitu RM 1.20 bagi teh tarik dan 80 sen bagi roti canai. Saya berpuashati. Maknanya kalau saya makan berdua, hanya RM 4.00, bukan RM 5 seperti kedai tadi.

11 Disember 2013

Beritahu Isteri Nak Pergi Econsave, Tapi Kena Tangkap Beli Nombor Ekor

Seorang lelaki umur 50-an, punyai isteri dan 5 orang anak. Bekerja sebagai tukang masak di sebuah kedai makan. Petang tu dalam jam 2.30 petang, dia keluar dari rumah, katanya nak beli barang makanan di pasaraya Econsave. Dia memang pergi Econsave dan beli barang seperti yang dia kata.
 Lepas tu dia ke sebuah kedai mamak dan jumpa dua orang kawan yang tengah bincang pasal nombor baik. Kawan dia tu kasi nombor yang katanya boleh  naik hari tu. Dia pun pergi ke kedai nombor ekor naik kereta dia. Kereta berhenti tak jauh dari kedai nombor ekor tu. Berhenti saja, dia tengok-tengok keadaan sekeliling dan bila rasa 'line clear' barulah dia masuk ke kedai nombor ekor tu. Dalam kedai tu tak ramai, cuma dia dan dua orang lelaki bukan Islam yang sedang beratur.

Dia pun beli nombor yang kawan dia kasi dengan harga RM4 dan RM 2 lagi nombor empat angka yang dia selalu ikut dan bertahun tapi tak pernah kena. Selesai saja dia beli, dia semak nombor yang dia beli, betul ke tidak nombor yang dia pesan tu. Dia pun keluar tapi iba-tiba dia terkejut apabila dihampiri 3 orang lelaki berpakaian biasa.
"Maaf encik... saya penguatkuasa Jabatan Agama". Kata salah seorang lelaki yang menahannya sambil menunjukkan kad kuasa. Masa tu jam 4.50 petang.

Masa itu juga kaki dia lemah dan macam nak pengsan. Dia pegang dada dan menggigil. Nasib baik dia tak apa-apa. Dia ada sakit darah tinggi tapi terkawal dengan makan misai kucing hari-hari. Ops... bukan misai kucing yang hidup tu, ubat herba misai kucing.

Tiket judi harga RM 4 dan RM2 tu dirampas dari tangannya. Dia dibawa ke balai polis dan kemudiannya dibawa ke pejabat agama. Bila kena tangkap, dia perlukan penjamin. Pening kepala  juga dia, nak beritahu isteri, takut kena bebel. Dia pun telefon kawan dia yang kasi nombor kat kedai mamak tadi. Kawan dia kata nak datang jamin, tapi dah dekat jam 6.30, tak sampai-sampai lagi, rupanya terus tak datang. Dalam hati kawan dia, takut kawan dia pecah lubang yang dia kasi nombor sehingga kawan dia kena tangkap.

Bila dah tak ada jalan lain dan dari tadi penguatkuasa kata, kalau tak ada penjamin, dia akan dimasukkan ke dalam lokap polis. Memang dia tak sangguplah nak tidur lokap, berseluar dalam saja katanya. Dia pun terpaksa panggil isteri dia jamin. Maka sebelum jam 7.00 isteri dia datanglah dan memang betullah, kena bebel berguni-guni dulu sebagai muqaddimah, akhirnya jamin juga.

02 Disember 2013

Suka Sangat Tengok Telefon Suami, Akhirnya Diceraikan

Lelaki dan perempuan lewat 20-an sudah berkahwin lebih setahun dan belum punyai anak. Kedua-duanya bekerja di  syarikat swasta. Sejak akhir-akhir ini, isteri rasa curiga dan bertambah-tambah perasaan cemburu terhadap suaminya. Tempat suami bekerja, kira-kira 80 peratus adalah wanita yang muda-muda. Pada suami, bukanlah nak mengada-ngada dengan anak dara di tempat kerja tapi gadis itu ibarat bunga mekar menghiasi taman serta menyuntik semangatnya bekerja.

Cuti-cuti Tahun

Satu hari, pasangan suami isteri ini dalam perjalanan menaiki kereta menuju ke kampung suami di sebuah daerah dalam negeri Johor. Kedua-dua mereka ambil cuti hujung tahun untuk berjumpa keluarga di kampung. Dalam perjalanan  itu, mereka singgah di sebuah stesen minyak dan suami pergi ke tandas lebih kurang 5 minit. Dalam kesempatan itu, isteri telah mengambil dan memeriksa telefon bimbit suami jenama Samsung S3.

Suami Berbual Dengan Awek Dalam Whataps

Si isteri terkejut dan amat marah apabila menemui perbualan suaminya dengan seorang gadis cun berdasarkan gambar gadis itu dalam 'whataps'. Isteri menyangka, gadis itu adalah rakan sekerja suaminya dan merasakan suaminya cukup mesra dengan gadis itu.

Bila suami masuk semula ke kereta, si isteri memarahi suaminya.

"Ohhhh... ini kerja awak selama ini. Siapa perempuan jalang tu..?" Kata isteri.

Si suami kelihatan gelabah.

"Ermmm... saya tak apa-apa dengan dia, itu urusan kerja, tak lebih dari itu". Kata suami.

"Ohhhh! Urusan kerja kata awak. Hari-hari cuti pun urusan kerja? Tak cukup ker masa kerja bercinta dengan awak. Cukuplah penipuan awak pada saya selama ini." Kata isteri.

Suami terus memandu dalam keadaan yang tidak tenteram.

"Iyer.... ini kawan saya, tak ada apa-apa" Kata suami yang terus pertahankan hujah dia.

"Sudahlah.... hidup saya selama ini cukup tersiksa hidup dengan awak. Siapa perempuan miang tu, siapa...cakap! Kalau awak dah hendak sangat dengan perempuan tu, sekarang awak ceraikan saya, sekarang juga!" Kata si isteri.

Suami terus tertekan dan semakin tak tenteram. Dia memperlahankan kenderaan.

"Ceraikan saya sekarang, ceraikan saya...." Teriak isteri, sambil memegang kepala, macam kucing kena gigit kutu babi.

"Cubalah awak duduk diam-diam, saya tengah bawak kereta ini. Cuba bawak bersabar". Kata suami.

"Hantar saya balik rumah mak ayah saya sekarang, saya boleh hidup tanpa awak, cerikan saya". Kata isteri.

"Awak jangan cabar saya. Okeylah, kalau gitu, saya ceraikan awak". Kata suami spontan.


Mula Sedar

Selepas lafaz itu, suami memberhentikan kereta. Suami beristighfar dan termenung panjang. Baru dia sedar dan dia tahu sikit-sikit hukum serta jatuh atau tidak jatuh talak. Dia teringat semasa ceramah kursus pra perkahwinan yang dia lalui sebelum dia nikah dulu. Dia lebih mengatakan, kalau begitu, jatuh talak walaupun ada niat atau tidak, terlanjur atau terlajak laris.

Si isteri pula, masa suami memberhentikan kereta, isteri terdiam, kemudiannya menangis, mengeluarkan sapu tangan dalam beg tangannya dan mengesat air mata.

"Sayang, maafkan abang, bukan niat abang nak ceraikan ayang..." Kata suami.

Isteri terus menangis dan tak kata apa-apa. Dalam keadaan yang tengah kecoh itu, suami mencadangkan mereka datang ke Pejabat Kadi yang lebih kurang 25km dari situ.

Tanya Pejabat Kadi

Di pejabat kadi, hadir satu pasangan suami isteri macam ada masalah. Pasangan ini sudah nekad untuk rujuk semula perkahwinan mereka segera. Sudah diberi penjelasan yang lafaznya itu lebih kepada jatuhnya talak. Walaubagaimanapun, kes ini akan didengar di hadapan hakim tidak lama lagi. Mengenai rujuk semula, pasangan dibenarkan rujuk pada hari itu juga.

"Mana surat nikah?" Tanya kadi.

"Maaf, tak bawak tuan". Kata lelaki tu.

" Tak bawak? Ini kena bawak ni". Kata kadi.

"Betul tuan, tapi kami datang ni nak tanya dulu sebeb kebetulan kami dalam kereta dan tak jauh dengan pejabat kadi." Kata lelaki ini.

Kemudian pasangan ini balik ke rumah dalam lingkungan 40km. Selang dua jam lepas itu, pasangan ini datang semula dan proses pendaftaran cerai dibuat. Pasangan ini dibenarkan rujuk semula perceraiannya hari itu juga. Mereka kembali hidup sebagai suami isteri dan kedua-duanya mengaku kesilapan diri walaupun antara mereka tak beritahu apa silap mereka.



26 November 2013

Lelaki Bujang Kena Tangkap Dengan Janda Yang Dah Kawin, Kenalan Facebook

Seorang lelaki dari Kluang, umur 26 tahun, masih bujang, kerja swasta dengan gaji dalam RM 1,400 sebulan, berkenalan dengan seorang wanita umur 48 tahun melalui facebook. Wanita ini dari Selangor, mengaku sebagai janda yang punyai 2 orang anak sendiri dan seorang anak angkat perempuan berumur 4 tahun.

Dah Kenal Nak Jumpa Pulak
Selepas berkenalan dalam 3 bulan, dari Selangor, wanita ini datang ke Kluang dengan membawa anak angkatnya berusia 4 tahun itu. Lelaki ini telah belanja sebuah bilik hotel di Kluang untuk wanita ini. Selepas mereka pergi makan malam, wanita ini dihantar ke hotel ini, manakala lelaki ini balik ke rumah sewanya.

Jam 4.00 Pagi

Lebih kurang jam 4.00 pagi, wanita ini telefon lelaki ini dan mengajak lelaki ini datang ke hotel kerana katanya dia 'kesunyian dan kegersangan'. Maka datang lelaki ini ke bilik hotel berkenaan. Tidak lama kemudian, penguatkuasa Jabatan Agama membuat operasi cegah maksiat dan memeriksa bilik berkenaan. Didapati seorang lelaki 26 tahun berpakaian lengkap dan wanita 48 tahun berbaju kelawar, manakala kanak-kanak 4 tahun itu sedang nyenyak tidur. Mereka ditangkap dan dibawa ke balai polis.

Janda Dah Kawin

Hasil siasatan dan pengakuan wanita ini, rupanya dia masih ada suami di Selangor. Dia datang ke Kluang dengan memberi alasan kepada suaminya untuk menziarah rakan lamanya iaitu perempuan. Lelaki ini terpinga-pinya selepas mengetahui rupanya wanita ini masih ada suami dan bukannya 'janda bergetah' seperti yang dia sangka.

Apabila suami mengetahui mengenai tangkapan ini, suami mengambil tindakan susulan bersama peguamnya di mahkamah Syariah di Selangor terhadap isterinya. Belum dipastikan apakah tindakan susulan itu tetapi kemungkinan untuk proses perceraian kerana isterinya curang dengan kenalan facebook.

Saya sudahi dengan serangkai pantun....

Tanam pisang rapat-rapat, jadi pula sarang Tempua
Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya terterap jua.....
Hahaha.....

23 November 2013

Alhamdulillah....Johor Cuti Jumaat dan Sabtu Mulai 1 Januari 2014


Alhamdulillah....Negeri Johor kembali  mengubah semula cuti hujung minggu kepada Jumaat dan Sabtu mulai 1 Januari 2014. Keseluruhan rakyat Johor bergembira seolah-olah meraikan 'satu kemenangan' pada hari ini. Rakyat Johor tidak kira apa bangsa dan agama memberi sokongan yang tidak berbelah bagi.

Pertukaran cuti hujung minggu itu dititahkan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada majlis Doa Kesyukuran, Majlis Terimaan, Majlis Menghadap Takzim dan Majlis Darjah dan Pingat sempena sambutan ulang tahun keputeraan baginda di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim di Muar.

21 November 2013

Bangla Potong Rumput Dapat Ribu-ribu Sebulan

Kawan saya yang mengendalikan kerja-kerja pembersihan di pejabat di Johor Bahru, bercerita mengenai masalah pekerja. Dia mempunyai berpuluh orang pekerja termasuk warga tempatan dan asing. Masaah utama di dalam kerjanya adalah untuk mencari pekerja.

Dia selalu panggil pemotong rumput warga Bangladesh secara sambilan dengan bayaran yang agak tinggi. Apabila nampak pekerja Bangla ini kerja bagus, dia hendak ambil pekerja Bangla ini secara tetap dengan gaji RM 1,500 sebulan, termasuk rumah percuma dan kemudahan lain termasuk permit kerja. Bagaimanapun, pekerja Bangla ini menolak. Kenapa tolak ?

Boleh Dapat Lebih 5,000 Sebulan?

Akhrnya kawan saya ini dapat jawapannya. Iaitu pekerja Bangla ini bekerja potong rumput dari rumah ke rumah dengan bayaran lumayan. Contohnya, kerja memotong rumput di sebuah rumah taman sebesar saiz meja makan, bayaran yang dikenakan adalah RM 20. Kerja memotong dan menyapu rumput seluas ini hanya memakan masa tak sampai 10 minit. Dalam sehari, Bangla ini kayuh basikal dan potong rumput dari rumah ke rumah dalam berpuluh-puluh rumah. Kawan saya ini congak-congak, rupanya Bangla ini lebih lumayan dengan bekerja sendiri.

Kita Kena Rajin

Saya bawa cerita ini, supaya kita orang tempatan rajin bekerja untuk menambah pendapatan yang halal. Kalau orang asing boleh bekerja, kenapa ada orang kita yang kata tak ada kerja. Kalau orang asing boleh rajin berusaha, kenapa ada orang kita yang lebih suka habiskan masa dengan hiburan dan cerita hantu saja.

13 November 2013

Main Spider, Mainan Kegemaran Masa Kecil Dulu (Episod 3)


"Abah... spider ni bahaya ker?" Kata anak saya yang sekolah darjah 3.

Saya tengok kat dinding. Alahai... dalam hati saya tu bukan spider, tu labah-labah. Saya kata kat anak saya, tu bukan spider, dia kata tu lah spider. Baru saya teringat yang saya salah cakap dan teringat zaman saya sekolah rendah dulu. Pada saya, spider tu yang kita cari kat pokok dan boleh lawan. Kalau yang besar tu saya panggil labah-labah.

Syok Main Spider

Saya tak tahu sekarang, ada lagi ker budak sekolah rendah main cari dan lawan spider. Entah tahu entah tak dia orang cari spider. Ehtah kenal ker tak dengan rupa spider. Saya sampai sekarang masih kenal spider tu dan rasa takkanlah spesis spider tu dah pupus sekarang. Rasa saya, minat orang kita saja yang pupus.

Dapat Spider

Ini kisah saya cari spider zaman sekolah rendah dulu. Saya masa tu berdua, kalau tak silap hari Ahad, pergi dari rumah ke rumah. Yang saya tahu, spider ni ada kat rumah orang jer, kat hutan besar tak ada. Kena tengok pokok yang daun dia berkapit. Antaranya pokok bunya, pokok jambu, pokok sirih, pokok keladi dan lain-lain. 

Kalau jumpa daun berkapit, kena intai dulu dan pastikan berkapit itu sambil melekat iaitu melekat disebabkan sarang spider. Masa intai tu menyeronokkan. Kalau ada spider, sambil kita intai dia tu, spider tu intai kita juga. Maka kita nampaklah penyepit dan gigi spider tu. Biasa masa tu, saya akan panggil kawan seorang lagi bantu nak tangkap. Kalau bawah pokok tu tak ada rumput, kira macam mudah sikit. Kalau ada rumput, nanti kalau spider tu jatuh dalam rumput, susah nak cari.

Spider Garang dan Liar

Suatu hari tu, kita orang pergi ke satu pokok yang tak pernah kita orang pergi. Nampak daun melekat dan bila diintai, nampak macam ada spider kat situ.

"Spider.. spider.." Kata saya dan kawan saya bantu.

Usaha menangkap berjaya dan kira saya punyalah spider tu. Wah.... spider tu nampak garang dan liar. Terus saya letak kat dalam kotak mancis. Lepas tu kat pokok yang saya, kawan saya pun dapat spider juga. Nampaknya dia dapat yang garang dan liar juga. Seronok betul kita orang berdua dapat spider dan tak sabar nak balik rumah untuk lawan.

Lawan Spider

Kita dua orang keluarkan spider masing-masing dan lawan. Memang pertarungan hebat sunggut hari tu. Agak kalau wresling zaman sekarang macam Undertaker lawan Stone Cold. Hari tu spider saya menang dan kawan saya kalah. Lagilah seronok saya. Saya dan kawan saya simpan spider tu semula dalam kotak mancis. Kita orang janji nak lawan semula hari esok.

Spider Betina

Tak lama lepas tu, ada 3 orang budak datang. Tapi kita orang kira itu budak kecil. Yerler, masa tu kita orang dalam darjah 5, budak tu dalam darjah 3 dan 4, kira baru nak belajar main spider. Dia orang datang dan ajak lawan spider dengan kita orang. Kita orang pun setujulah. Tapi bila dia orang bukak, saya terkejut. Alamak.... ni spider betina, mana boleh lawan dan saya taknak lawan.

"Betina pun boleh lawan lah, kita orang dah try". Kata budak tu.

Nak puas hati dia orang, saya keluarkan hero saya, sipder jantan tadi. Nampaknya memang dia taknak lawan. Spider tu kenal jantan dan betina. Lepas tu budak seorang lagi kata dia ada spider betina. Maka dia nak lawankan antara spider betina dengan betina. Kira itu kali pertama saya tengok perlawanan betina lawan betina.
.... BERSAMBUNG KE EPISOD 4



12 November 2013

Kes Bunuh Ketua Penguatkuasa Agama JAIP: Polis Edarkan Wajah Suspek Utama Bantu Siasatan

KUANTAN: Polis Pahang mengedarkan lakaran wajah seorang suspek kes pembunuhan Ketua Penolong Pengarah Penguat Kuasa Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Ahmad Rafli Abd Malek sebentar tadi.

Ketua Polis Pahang, Datuk Sharifuddin Ab Ghani, berkata lakaran itu membabitkan suspek yang memberi salam kepada mangsa sebelum rakannya melepaskan tiga das tembakan ke arah mangsa.
"Suspek dianggarkan berusia lingkungan 50 tahun dan saya percaya kes ini dapat diselesaikan tidak lama lagi," katanya pada sidang media sebentar tadi.

11 November 2013

Kedai Asam Pedas Paling Teruk

Sabtu lalu, dari Kluang saya ke satu daerah untuk menyampaikan satu ceramah. Singgah di sebuah kedai 'Asam Pedas' di tepi jalan dalam jam 1.30 tengahari. Itu kali pertama saya ke kedai itu dan tertarik dengan beberapa kain rentang yang mempromosikan kedai tu. Sampai di kedai tu, nampaknya saya dan satu meja lagi saja yang ada orang, orang lain tak ada. Gambaran saya, tak ramai yang singgah ke kedai tu, mungkin disebabkan kedai baru.

Banyak Lalat

Masuk ke kedai tu, nampaknya banyak lalat, tapi tak apalah. Saya pernah berhenti tak jauh dengan kedai tu, tapi macam tak ada lalat. Saya tengok kat tempat lauk dan ada lauk seperti ayam dan ikan keli.

"Asam pedas apa ada kak?" Tanya saya kepada wanita dalam lingkungan 40-an tu.

"Ada ikan kembung dan ikan pari". Jawab kakak tu.

Saya pun mintak ikan pari dan dia masak dan katanya dalam 10 minit. Saya ambil nasi dan sayur sendiri. Air teh O kurang manis, sebab takutkan kencing manis, hehehe. Bila saya tengok nasi, nasinya panas tapi lembik. Pada saya,kalau nak niaga, janganlah nasi lembik, ini satu kesilapan yang dibuat oleh tuan kedai tu.

Ikan Pari Siap

Sambil tunggu ikan pari asam pedas saya masak, lalat nampaknya makin banyak. Saya tengok, tak ada pun alat perangkap lalat kat kedai tu. Tak lama kemudian, ikan pari saya sampai. Apa yang mengejutkan saya adalah bau ikan tu. Baunya lain macam saja tapi saya rilek saja pada mulanya. Bila saya cubit ikan tu, rupanya ikan tu mentah dan tak masak sepenuhnya. Saya cuba makan juga tapi tak boleh dan tekak loya.

"Kak... ikan pari ni tak masak kak" Kata saya pada tuan kedai tu.

"Minta maaf, tunggu sekajap yer". Kata kakak tu dan dia masak semula.

Lebih kurang 10 minit kemudian, kakak tu hantar ikan tu iaitu ikan tadi. Ada lagi kesan cubitan saya tadi. Tapi rasanya tetap berbau. Yang lagi buat saya tak makan sebab ikan pari tu siang tak betul iaitu dia masak dengan insang sekali. Lebih malang lagi, lalat semakin banyak masa saya makan sampai hinggap kat lengan saya. Ini semua pasal bau ikan pari tu kuat sangat. 

Saya makan sedikit saja iaitu cubit di bahagian ekor sahaja. Tak habis nasi saya, suku saja. Kemudian saya panggil bayar, kakak tu kata RM 7.00.

"Minta maaf yer, ikan tadi tak masak". Kata kakak tu.

"Ermmm... tak apa" Kata saya sambil tersenyum.

Nak Berniaga Kena Betul-betul

Bukan senang nak berniaga terutama kedai yang diletakkan tema seperti "Asam Pedas". Saya selalu makan asam pedas di Parit Jawa, Sri Gading, Bukit Pasir Muar dan Parit Sulung, semuanya saya puashati. Sekali datang kedai tu, rasa nak datang lagi.

Tetapi.... apa yang berlaku pada saya hari Sabtu lepas, menyedihkan saya. Lepas itu saya singgah di kedai tepi jalan minum air kelapa dan makan goreng pisang untuk menghilangkan rasa yang tak sedap tu. Selepas itu, saya meneruskan sesi ceramah saya dalam keadaan perut yang tak selesa.

Bukan senang nak masak asam pedas. Kita kena ada ilmu antaranya yang tukang masak di Parit Jawa kata, ikan hendaklah ikan baru dan jangan simpan dalam peti ais terlalu lama. Kalau hendak simpan dalam peti pun, ada caranya iaitu hendaklah disiang dan dibuang perut dulu. Cara masak asam pedas kena pandai terutama untuk berniaga. Kat kedai semalam tu rasanya pedas dan saya tak pernah jumpa asam pedas macam tu.

Ceramah Kepada Usahawan

Peristiwa makan asam pedas ini boleh jadi modal dalam ceramah saya kepada usahawan. Ramai juga peniaga kecil, bakal usahawan dan peniaga restoran yang panggil saya beri ceramah dan saya cerita perkara-perkara seperti ini. Bukan niat saya nak jatuhkan sesiapa terutama peniaga baru, tapi sebenarnya peniaga itulah yang menjatuhkan dirinya sendiri kerana masakan entah apa-apa.

Lalat

Ramai orang kita yang kalau kedai dia banyak lalat, dia kata kedai dia kena ilmu hitam. Kedai ini tak berapa jauh dengan kedai lain tapi kedai lain tak banyak lalat. Pada saya, peniaga kena jaga kebersihan kedai. Kalau perut ayam dan perut ikan, janganlah simpan lama-lama dalam tong sampah. Kena cepat-cepat buang jauh-jauh. Kalau benda itu ada di kedai dan dibiar lama baru dibuang, maka berpestalah lalat kat sini. Lagi satu, gunakan perangkap lalat.

10 November 2013

Ketua Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Pahang Maut Ditembak... Alfatihah.


Ketua Penolong Pengarah Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Ahmad Rafli Abdul Malek maut ditembak tiga lelaki di hadapan rumahnya di Indera Mahkota 2, di sini, kira-kira pukul 2.30 petang Ahad.

Timbalan Ketua Polis Daerah, Superintendan Abdul Aziz Ahmad, berkata mangsa dipercayai ditembak tiga das dari jarak dekat oleh sekumpulan lelaki yang datang menaiki kereta Wira Aeroback.

"Pada kesempatan yang ada ini, saya mewakili pegawai dan kakitangan Jabatan Agama Johor mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham. Semoga Allah mencucuri rahmat dan semoga ditempatkan di kalangan para syuhadak dan orang-orang yang soleh". Amin.

09 November 2013

Semoga 'Taubat' Pengikut Al-Arqam, Akan Berakhirlah Episod Kesesatan Al-Arqam

Dua tiga hari lepas, Ummu Jah, isteri kepada Ashari Muhammad bekas pemimpin Al-Arqam dijatuhkan hukuman di Mahkamah Rendah Syariah Gombak, Selangor. Hakim Syarie Kamarulzaman Ali memerintahkan   berkelakuan baik selama setahun serta mengenakan hukuman denda RM1,000 atau 14 hari penjara terhadap Ummu Jah bagi kesalahan menerbitkan buku yang bertentangan dengan hukum syarak.

Dalam hukuman ini, saya nampak, langkah hakim turut mengenakan hukuman 'berkelakuan baik' selama setahun adalah amat wajar. Bagi saya, kes yang melibatkan ajaran sesat perlu ditambahkan hukuman 'berkelakuan baik' ini sekiranya difikirkan perlu. Sememangnya kes ajaran sesat ini bukan mudah untuk dibenteras. Ajaran itu bukanlah baru, pengikut pun ramai, kemewahan dan keistimewaan dalam gerakan itu pun tinggi. Semua ini sebenarnya bukan semudah itu untuk dihentikan kegiatan sesat ini.

Saya ingin menambah lagi, iaitu apabila hukuman penjara dikenakan ke atas pengikut atau ketua ajaran sesat, program pemulihan khas hendaklah diperkasakan di dalam penjara, selama menjalani hukuman penjara. 

Majlis Taubat

Semalam pula, satu majlis diadakan di sebuah hotel di Selangor yang turut dihadiri oleh beberapa orang tokoh agama terkenal. Saya tidak pasti siapakan yang memberi idea atau merancang 'majlis taubat' ini sama ada pihak berkuasa agama atau Ummu Jah dan pengikutnya sendiri. Mungkin juga Ummu Jah dan pengikutnya yang rancang setelah menghadapi hukuman dan perintah mahkamah supaya 'berkelakuan baik'. Kalau nak tahu, dalam tempoh setahun berkelakuan baik ini, kalau ada saja Ummu Jah terlibat dalam kegiatan 'ajaran sesat', itu dianggap melanggar perintah mahkamah dan akan dihukum. Yang pasti, majlis taubat ini mendapat liputan media yang meluas.

Apa yang saya faham, dalam majlis ini, Ummu Jah katanya bertaubat dan tidak akan mengulangi kesilapan atau 'kesesatan' bekas pengikut Al-Arqam dan pengikutnya yang lalu. Kita harapkan 'taubat' ini benar-benar dilaksanakan. Tapi janganlah 'taubat' ini hanya manis dibibir sahaja. Yang lebih penting adalah untuk merealisasikan atau bahasa orang kampung lebih faham adalah untuk melaksanakannya.

Dalam majlis taubat itu semalam Timbalan Mufti Selangor, Datuk Abdul Majid Omar berkata, beliau yakin taubat dilafazkan oleh Ummu Jah semalam dilakukan penuh ikhlas.
“Bila seseorang bertaubat dengan ikhlas minta ampun dengan ALLAH tak perlu sebut ciri-ciri dosa dilakukan kerana semua kesalahan disedari atau pun tidak akan diampunkan ALLAH,” katanya.

Saya menyokong kenyataan Timbalan Mufti Selangor ini. Kita sebagai seorang Islam tidak sepatutnya curiga kepada seseorang apabila menghulurkan tangan kepada kita untuk bertaubat dan itulah cara Islam yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad SAW. Dalam sejarah Islam, bagaimana Nabi boleh menerima taubat Wasyi seorang pembunuh kejam yang membunuh Saidina Hamzah dalam Perang Uhud. Nabi juga boleh menerima keislaman Khalid Al-Walid yang menjadi musuh dan pemusnah kepada kekalahan tentera Islam dalam Perang Uhud. Nabi turut menerima keislaman Abu Supyan dan Hendon yang menjadi penentang Islam cukup kuat pada awal permulaan Islam sehinggalah zaman Hijrah.

Mari Sama-sama Kita Fikirkan

Bagaimanapun, saya ingin melontar beberapa isu, sekadar untuk kita berfikir secara bijak dan lebih jauh. Kita sebagai orang Islam hendaklah belajar dari sejarah silam. Pihak berkuasa terutama penguatkuasa Jabatan Agama Islam Negeri hendaklah tidak berdiam diri sahaja. Iaitu, janganlah anggap isu ajaran Al-Arqam yang sudah bertapak lama ini akan tamat hari ini. Pihak berkuasa Agama dan Polis perlu terus membuat risikan, mengumpul maklumat, mengawasi dan memantau kegiatan ini. Kalau ada saja penyelewengan akidah, tindakan tegas hendaklah dijalankan.


Ashari Muhamad Pernah Taubat
Kalau kita masih ingat dan saya masih pun ingat, iaitu sekitar tahun 90-an dahulu selepas penangkapan Ashari Muhammad dan pengikutnya secara besar-besaran, satu majlis taubat diadakan di Masjid Negara. Bukan itu saja, majlis ini mendapat liputan luas media dan turut disiarkan secara lansung dalam TV. Dalam majlis itu, Ashari Muhammad dan orang kanan Al-Arqam melafazkan taubat. Bekas pengikut Arqam juga bersetuju mengubah imej dan cara berpakaian serta akan mengikuti program pemulihan yang diatur pihak berkuasa. Kita sebagai masyarakat mengganggap bahawa isu Al-Arqam sudah selesai. Tapi apa kesudahannya.

Tapi lafaz taubat itu hanya sekadar lafaz sahaja. Al-Arqam terus bergerak walaupun bukan menggunakan nama A-Arqam. Banyak nama digunakan dan berselindungan di bawah syarikat dan perniagaan yang hahikatnya pergerakan Al-Arqam tetap di hati mereka. Ciri-ciri lama Al-Arqam tetap ada walaupun ada penjenamaan semula dan pembaharuan untuk menutup penyelewengan mereka.

Tindakan Tegas Hendaklah Diambil

Jika kegiatan sesat terus berjalan, tidak kiralah namanya Al-Arqam atau nama lain, tindakan tegas hendaklah diambil tidak kiralah orang itu sudah menyatakan dalam 'majlis taubat' atau tidak. Taubat itu datangnya dari hati dan keihklasan. Kita tidak mahu 'majlis taubat' itu hanya tinggal janji manis sahaja atau satu taktik untuk terus bergerak dalam diam.
Sekian pendapat peribadi saya.

06 November 2013

Beromen Malam Maal Hijrah


PASANGAN CEMAR MAAL HIJRAH

KLUANG - Meskipun baru berkenalan kira-kira lebih sebulan lalu, sepasang kekasih berani berdua-duaan di sebuah hotel bajet sekaligus mencemarkan sambutan  Maal Hijrah.

Bagaimanapun, lelaki berusia 28 tahun bersama teman wanitanya berumur 25 tahun itu dicekup Bahagian Penguatkuasa dari Pejabat Agama Islam Johor Daerah Kluang di sebuah hotel bajet di Jalan Renggam-Kluang, di sini, awal pagi semalam.

Lelaki tersebut yang berasal dari Felda Kahang Timur, di sini, manakala pasangannya dari Segamat itu ditahan sempena Ops Cegah Maksiat sempena Maal Hijrah selepas berkhalwat di hotel bajet di Sri Lalang, di sini.

Anggota ops yang diketuai Pegawai Penguatkuasa Agama Daerah Kluang, Anuar Kosnin terpaksa menunggu hampir 10 minit sebelum lelaki terbabit membuka pintu.

Hasil pemeriksaan lanjut menemui seorang wanita tanpa berpakaian bersembunyi dalam bilik air berdasarkan pakaian yang dilonggokkan di tepi katil dalam bilik berkenaan.

Anuar berkata, ketika soal siasat dijalankan, lelaki itu memberi alasan bahawa dirinya risaukan keselamatan pasangannya kerana tinggal bersendirian di rumah sewa terbabit malah sering diganggu oleh individu lain.

Menurutnya, alasan diberi lelaki itu tidak berjaya mengubah pendirian pihaknya untuk melepaskan pasangan berkenaan daripada ditangkap.

“Masalah seperti ini sering dilakukan oleh anak muda sekarang terutama sekali apabila berjauhan dengan ibu bapa dan tiada kawalan. Dengan hanya pertemuan sebulan, mereka telah berani untuk diajak bermalam ke bilik hotel.

Isteri kena Campak Dalam Perigi Buta Sebab Banyak Membebel

Saya dengar satu ceramah pasal kisah rumah tangga. Tergelak besar juga saya dibuatnya bila penceramah tu cerita kisah seorang isteri yang kuat membebel kat suami dia. Siang membebel, malam membebel, ada saja yang tak kena. Hingga satu malam tu, suami dah tak tahan kena bebel, dia pun angkat isteri dia dan campak ke dalam perigi buta kat belakang rumahnya.

Rasa Sunyi Pulak

Lepas tu, si suami rasa sunyi pulak bila tak dengar bebel isteri dia dan pergi semula ke perigi buta tadi. Si suami lemparkan tali besar ke dalam perigi untuk isteri dia naik semula. Adalah  orang naik dan suami ingatkan isteri dia yang naik. Rupanya bukan isteri dia. Orang tu badan besar dan berbulu hitam.

"Awak ni siapa?" Tanya si suami pada makhluk berbulu tu.

"Saya jin, bukan manusia" Kata makhluk tu.

" Ohhh jin... dah tu kenapa awak panjat tali tadi". Tanya lelaki tu.

"Saya penghuni perigi buta ni. Tapi saya terpaksa lari, tak tahan dengar ada orang perempuan membebel dalam perigi ni". Kata jin perigi tu.

03 November 2013

Sambutan Maal Hijrah Daerah Kluang Bersama Ustaz Haryanto Rizal Rokman


Semua dijemput ke program Maal Hijrah peringkat daerah Kluang pada 4 November 2013, hari Isnin di Masjid Bandar Kluang. Mulai jam 6.15 petang. Dimulai dengan bacaan Yaasin dan tahlil. Ceramah agama akan diadakan selepas solat Maghrib oleh Ustaz Haryanto Rizal Rokman, seorang pendakwah bebas terkenal dari Kuala Lumpur. Sering muncul di TV9 dan TV Hijrah. 

Semua dijemput hadir. Sila bawa keluarga dan anak-anak. Jamuan disediakan. SILA HEBAHKAN KEPADA RAKAN-RAKAN.