28 Mei 2010
Pinjam Ceti Haram Untuk Judi Bolasepak ?
Jumlah kaki judi yang akan berhutang dengan along dijangka meningkat sehingga 50 peratus sepanjang musim Piala Dunia 2010 bulan depan berikutan ceti haram itu dikatakan mempermudahkan syarat pinjaman untuk tujuan pertaruhan.
Ketua Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Michael Chong, berkata sasaran itu berpandukan statistik tahun 2008 ketika Kejohanan Piala Euro di Perancis yang mana 630 orang yang berhutang dengan along membuat aduan di pejabatnya kerana gagal membayar balik pinjaman. Katanya, pihaknya menjangka orang ramai terutama kaki judi akan membuat pinjaman daripada ceti haram itu minimum RM100,000 dalam usaha mengaut keuntungan semaksimum mungkin daripada 64 perlawanan sepanjang kejohanan berlangsung.
Katanya, orang ramai membuat pinjaman daripada along kerana saluran itu sangat mudah dan cepat, bagaimanapun peminjam tidak diterangkan secara terperinci kadar faedah daripada jumlah pembayaran balik pinjaman yang dibuat kerana kebiasaannya ia akan meningkat dua kali ganda berbanding pada hari biasa.
“Pemohon mudah terpengaruh kerana mereka sangat teruja untuk bertaruh selain terdesak menjadi kaya dalam tempoh singkat tanpa memikirkan kesannya.
“Kebanyakan mangsa yang mengadu ke pejabat MCA memberitahu mereka tidak sedar bunga dikenakan sangat tinggi. Sekiranya lewat sehari, bagi pinjaman sebanyak RM1,000 bunganya mencecah RM400 berbanding hari biasa,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Michael berkata, sepanjang tahun ini orang ramai yang membuat pinjaman dengan along dan gagal membayarnya balik secara purata 30 kes sebulan dan dijangka meningkat dua kali ganda, apabila kejohanan Piala Dunia yang memasuki edisi ke-19 itu bermula 11 Jun ini.
“Saya menyeru orang ramai supaya berfikir banyak kali sebelum membuat pinjaman dengan along kerana golongan ini akan melakukan apa saja termasuk mencederakan sehingga membawa maut dalam usaha mendapatkan kembali wang mereka.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Dipersilakan komen.