MINGGU lepas, saya berceramah di Masjid Kg Paya, Layang-layang, Kluang sempena sambutan ulangtahun 40 tahun Johor Corporation selepas tahlil dan bacaan yasin. Saya banyak sentuh bab ekonomi, bertepatan dengan ulangtahun JCorp itu. Saya banyak sentuh tentang penipuan pelaburan haram termasuk jualan lansung, forex, saham meragukan, pelaburan internet dan penipuan lain.
Saya bimbang di Kluang sekarang ada beberapa orang tertentu sudah pun masuk skim yang sangat meragukan ini. Apa yang menyebabkan saya rasa perlu bersuara ini, kerana yang terlibat ini ada dari kalangan Jawatankuasa Masjid dan Surau di daerah Kluang. Duit hasil pelaburan ini kononnya untuk pembangunan masjid berkenaan. Sebagai Kadi, saya rasa amat terpanggil untuk menyelamatkan mereka semua dari tertipu dalam penipuan terancang ini.
Saham itu katanya boleh untung 40 kali ganda. Orang yang masuk ini ada jawatan dalam masyarakat di Kluang ini, dia sudah masuk RM 25,000 dan dijanjikan pulangan RM 1 juta tiga bulan lagi. Mengikut cerita, wang yang dijanjikan ini sudah berada di luar negara tapi belum dibawa masuk. Oleh itu, pelabur perlu membayar 'deposit' untuk urusan-urusan membawa masuk wang berkenaan ke negara kita.
Saya Pernah dimarahi
Dahulu sekitar tahun 2005 dan 2006, saya banyak menentang skim pelaburan melalui internet. Antaranya Swiscash, ABB Fund dan beberapa pelaburan kononnya perniagaan minyak di luar negara. Dalam suatu majlis seminar yang ramai dihadiri oleh guru-guru termasuk ustaz saya sentuh isu ini. Bagaimanapun, bila saya menyatakan semua ini penipuan, saya dengar suara-suara sumbang di belakang.
Saya beri ruang kepada yang nak bertanya soalan supaya menggunakan pembesar suara yang disediakan tetapi mereka tak mahu. Mereka lebih suka melalak di belakang. Antaranya mereka kata saya suka membiarkan orang Melayu dan Islam tidak maju. Mereka juga kata saya berpemikiran tertutup dan sebagainya. Yang paling pedas adalah ayat...."Ustaz Yahudi" yang ditujukan kepada saya. Saya berpesan supaya jangan terlibat dalam pelaburan sebegitu. Dan di akhir ceramah saya kata lebih kurang begini,
"Hari ini mungkin kita tak dapat terima apa yang saya sampaikan ini. Tapi saya percaya, esok lusa apabila saham ini runtuh, anda semua akan mengakui apa yang saya katakan ini.". Memang runtuh Swiscash, ABB Fund, dan lain-lain lepas tu. Mereka semua tak jumpa saya, masing-masing dah malu tertipu.
Cerita Amy Search
Penyanyi terkenal Amy Search mengakui dirinya kini tidak akan terpedaya lagi dengan mana-mana skim cepat kaya atau pelaburan yang menjanjikan keuntungan yang berlipat ganda.
Amy memberitahu media, pengalaman dia ditipu oleh beberapa pihak merupakan momen yang paling tragik pernah dilaluinya sepanjang bergelar anak seni.
"Apabila ditipu berkali-kali saya rasa kebahagiaan dan kegembiraan saya hilang. Ini antara perkara paling teruk pernah saya alami. Selepas ini saya tak akan dan tidak mahu masuk mana-mana skim pelaburan," katanya jujur.
Apa tidaknya, pada tahun 2008 sahaja dia telah ditipu hampir RM1 juta oleh seorang wanita menerusi skim pelaburan, kemudian dia ditipu sekali lagi sebanyak RM500,000 oleh sebuah skim pelaburan sedangkan wang tersebut diperuntukkan untuk yayasan tahfiz di tanah seluas 1.21 hektar yang akan dibangunkan di Pekan Nenas, Johor.
"Saya kecewa sangat kerana wang tersebut sepatutnya saya gunakan untuk yayasan tahfiz, malah, orang yang bertanggungjawab membawa saya ke skim pelaburan tersebut hingga ke Labuan juga seorang yang beragama Islam dan dia tahu saya perlukan wang itu untuk yayasan tersebut.
"Mulanya saya masuk skim itu kerana yayasan yang saya ingin bangunkan itu memerlukan kos bernilai RM3 juta. Tidak sangka pula akan ditipu," ujarnya.
Tidak habis di situ, pada tahun yang sama Amy ditipu oleh satu pasangan yang meyakinkannya untuk membuat pelaburan dalam sebuah syarikat berjumlah RM750,000.
"Saya ke bank bersama isteri untuk mengeluarkan wang itu, dan apabila sampai ke rumah, baru kami tersedar macam mana kami boleh keluarkan wang sebegitu banyak. Kami seolah-olah dipukau dan menurut sahaja permintaan mereka," katanya.
Kemudian, wang yang sepatutnya diguna untuk mengubah suai restoran miliknya, Cheng Ho sebanyak RM240,000 telah dipinjamkan kepada seorang kenalan saudaranya dan dijanjikan akan dipulangkan semula selepas empat hari. Bagaimanapun sehingga kini, tiada khabar berita langsung mengenai semua wang yang dilabur dan dipinjamkan itu.
"Kalau orang lain saya ingat boleh jadi gila. Tapi saya reda dengan apa yang berlaku kerana ibu saya pernah berpesan ketika saya menyuarakan hasrat untuk tubuhkan tahfiz dia pernah memberitahu yang saya akan melalui ujian yang besar.
"Lagipun, semua yang datang daripada Allah. Sebagai manusia saya menerimanya dan berharap akan ada sesuatu yang baik selepas ini," ucapnya.
Meskipun telah kerugian hampir RM3 juta dan kehilangan tanah untuk membangunkan yayasan tahfiz tersebut, hasrat sucinya itu tidak pernah terpadam. Malah, ia akan diteruskan walau menggunakan apa cara sekalipun.
Sampai sekarang ni pun orang kita masih sama lagi ustaz. Mudah percaya dengan perkara-perkara yang memberikan kekayaan mudah.
BalasPadamTuan kadi, saya nak tanya. Dari saya kecik sampai la ke besar, saya cukup hairan kenapa pengantin perlu bersanding masa kenduri kahwin.
Dah la harga sewa pelamin tu mahal. Tak praktikal langsung untuk kegunaan urusan nikah.
Tak berdosa kan kalau tak bersanding-sanding ni?
Sylarius....
BalasPadamBersanding tak haram kalau pasangan menutup aurat dan tidak ada perkara lain yang bertentangan syariah.
Perkara membazir perlu dielakkan dan kalau nak bersanding, gunalah peralatan yang tidak membazir. Nikahlah di pejabat Agama Kluang, sudah ada pelamin percuma.
Salam Ustaz..
BalasPadamApa pandangan ustaz kalau saya katakan masih ada lagi syarikat MLM yg beroperasi pada hari ini, telah bertapak di Malaysia selama 15 tahun & sah di sisi undang-undang..dan pada masa yg sama boleh memberi pendapatan sampingan kepada ahlinya, dengan syarat..rajin bekerja, rajin berusaha..
Amir