09 Januari 2010
'Pak Arab' Perompak Kedai Emas Terengganu Dicekup
KUALA TERENGGANU, 9 Jan (Bernama) -- Polis percaya dapat menyelesaikan kes rompakan di sebuah kedai emas berhampiran Pasar Payang di sini yang melibatkan kerugian RM900,000 bulan lalu berikutan tertangkap tiga suspek dua hari lepas. Ketua Polis Terengganu Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata kesemua yang ditangkap merupakan warga negara asing iaitu seorang wanita dari Guatemala dan dua lelaki masing-masing dari Perancis dan Mexico.
"Kami percaya masih ada lagi suspek terlibat dan kami sedang siasat berapa ramai anggota dalam kumpulan ini," katanya kepada pemberita.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2 petang 9 Disember tahun lepas, beberapa lelaki dan seorang wanita melarikan barang kemas dari sebuah kedai emas berhampiran Pasar Payang. Mohd Shukri berkata ketiga-tiga suspek itu ditahan di satu lokasi di sini hasil maklumat orang awam, namun barang-barang kemas yang dilarikan itu masih belum ditemui. Beliau berkata ketiga-tiga suspek ditahan reman selama empat hari mulai Jumaat untuk membantu siasatan kes.
-- BERNAMA
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Dipersilakan komen.