Nak pindah rumah lain bukan semudah seperti dirancang. Sewa dan deposit rumah lama pun sudah terbeban, ini kan pula nak cari rumah lain. Maka hasrat nak pindah dalam tempoh terdekat ditangguhkan. Lagipun mereka sudah seakan sesuai dengan rumah itu, cuma bimbang kalau bapanya saja yang mengganggu lagi. Kalau difikirkan, bukan semudah itu bapanya nak ganggu, bapanya di kampung, sejauh 100 km. Bapanya bukan ada kereta, sekadar moto kapcai saja. Kalau nak datang pun naik bas dan teksi, jadi tak perlu risaulah dengan gangguan sebegitu.
Malam Yang Tak Akan Aku Lupa
Suatu malam, dalam jam 12.30 malam rumah mereka diketuk. Waktu itu, mereka berdua sedang nyenyak tidur. Agak menghairankan juga, siapa yang datang malam-malam buta begini. Nak buka sebarangan, tak berani juga. Bila diintai dari tingkap, dilihatnya ada ramai juga dalam 5-6 orang di luar. Mereka datang dengan sebuah van yang berhenti depan rumah. Kebetulan sebelum tidur tadi, lampu luar dinyalakan.
Melihat keadaan sebegitu, lagilah takut nak buka pintu. Bila pintu lewat dibuka, orang tersebut terus mengetuk. Terdengar suara dari luar rumah.
"Sila beri kerjasama, kami dari Penguatkuasa, Jabatan Agama Johor". Sahut salah seorang lelaki berkenaan.
Kenapa pula dengan Jabatan Agama ? Hairan juga. Mereka buka pintu dan beberapa orang penguatkuasa minta izin masuk sambil menunjukkan 'Waran Geledah'. Rumah kemudian dimasuki oleh penguatkuasa 5 lelaki dan 1 perempuan. Kemudian seorang penguatkuasa yang agak senior bertanyakan beberapa soalan.
'Berapa orang tinggal di rumah ini? '. Tanya penguatkuasa.
'Saya berdua bersama isteri saya'. Jawab Harun.
'Tolong tunjuk surat nikah dan kad pengenalan masing-masing'. Kata penguatkuasa.
'Eghh... eghh... surat nikah kami tinggal di kampung'. Jawab Harun terketar-ketar.
'Kenapa tinggal di kampung ? Kenapa tak simpan sekurang-kurang satu salinan di sini ?' tanya penguatkuasa.
'Maaf encik, kami tak sempat ambil di pejabat Kadi daerah berkenaan sebab kami sibuk bekerja'. Jawab Harun.
'Sibuk macam mana tu, takkanlah tak ada masa lansung nak ambil'. Penguatkuasa terus menyoal siasat seperti mendesak.
'Maafkan saya encik, saya mengaku cuai dan tak ambil berat dalam hal ini. Tak sangka pula jadi begini'. Jelas Harun.
'Saya tanya sekali lagi, dah nikah atau belum ?' Soal penguatkuasa.
'Yer betul, kami ada bukti gambar akad nikah dalam telefon bimbit dan dalam album'. Jelas Harun.
Harun kemudian menunjukkan beberapa gambar dalam telefonnya. Manakala Zihan yang ketakutan dari tadi, membuka album yang masih di dalam beg. Semua gambar itu menunjukkan majlis akad nikah termasuk gambar Harun sedang bersalaman dengan imam. Penguatkuasa melihat dengan teliti satu persatu. Kemudian penguatkuasa membawa Harun dan Zihan ke setiap bilik.
Geledah Bilik
Rumah itu ada 2 bilik saja, bilik pertama tempat tidur mereka, bilik kedua dibiarkan kosong dan dijadikan tempat sidai baju. Penguatkuasa dilihat melukis lakaran setiap rumah. Kemudian penguatkuasa menjalankan beberapa perkara yang perlu termasuk mengambil gambar di tempat tertentu.
' Ok. Kamu berdua diminta ikut kami ke Balai Polis'. Kata penguatkuasa dalam nada yang agak tegas, berbeza dari tadi.
' Maaf encik, kami tak salah, kami dah nikah. Kalau encik tak percaya boleh telefon ayah kami di kampung'. Cadang Harun.
'Apa-apa hal, ikut ke balai dulu. Nanti esok boleh cerita di pejabat'. Kata penguatkuasa.
Nampaknya mereka tidak dapat mengelak lagi dan terpaksa ikut arahan penguatkuasa. Mereka dibawa ke balai polis dan dibuat laporan polis. Kemudian penguatkuasa memberi peluang kepadanya mencari penjamin. Selepas dihubungi, kawannya Zaid yang dulu tolong carikan kerja di JB itu datang dalam jam 1.20 pagi dan menolongnya untuk bebas sementara malam itu. Esoknya, mereka hendaklah ke pejabat Penguatkuasa JAIJ, kalau gagal waran tangkap boleh keluar kepada dia dan penjamin.
Keluar dari balai polis, Harun ajak kawannya itu minum di kedai mamak berhampiran. Hidupnya makin serabut dan lepas satu, satu lagi masalah mendatang. Untuk berdepan dengan penguatkuasa esok, bukanlah perkara mudah. Nak elak atau nak kelentong, penguatkuasa ni dah kerja dia hari-hari menyiasat kes sebegini, bukan semudah itu nak sembunyi.
"Zaid, engkaulah kawan aku dari sekolah dulu. Engkau banyak tolong aku di JB ni. Kalau engkau tak jamin kami malam ni, tak ada siapa nak jamin kami. Kenalah kami tidur dalam lokap pakai seluar dalam saja". Keluh Harun.
"Pertolongan aku ni kecil saja. Aku tak sampai hati dengar cerita sedih kau pasal hantaran 10,000 tu. Sebab tu aku nak selamatkan kau dari terus duduk di kampung'. Kata Zaid.
"Esok bagaimana Zaid ? Aku dan isteri aku tak boleh cuti, nanti tak ada orang jaga mesin. Aku takut nanti kena potong bonus bulan ni dua ratus sebab ambil cuti. Lagi satu takut kena marah bos, cuti tak beritahu awal". Katanya.
"Jangan risau, esok engkau jangan tak pergi ke JAIJ pulak. Nanti kena waran tangkap lagi susah. Aku sebagai penjamin pun boleh kena tangkap tak pasal-pasal. Pasal kerja tu, nanti aku beritahu bos engkau kerja shif malam, masuk pukul 5 petang untuk esok saja. Nanti aku pandailah cakap pada bos'. Jelas Zaid.
' Terima kasih Zaid. Kau memang betul-betul sahabat aku masa aku senang dan susah. Aku tak lupakan jasa dan susah payah kau bantu kamu selama ini".
Mereka balik ke rumah semula dalam jam 2.30 pagi. Tidur mereka malam itu hampir tidak tidur. Berserabut kepala memikirkan hari esok.
Siapa Pengadu ?
Yang menjadi satu persoalan besar adalah, siapa yang mengadu dalam kes ini ? Penguatkuasa datang, mesti ada orang yang mengadu. Kalau nak tuduh jiran-jiran di sini, mereka semua anggap mereka dah kahwin. Takkanlah mereka nak mengadu ke pejabat Agama. Memang berserabutlah mereka malam itu. Nak fikir banyak-banyak pun tak guna, yang penting berserah saja kepada Allah.
tak sabar nak tunggu kisah seterusnya.......
BalasPadam