Untuk Memilih Tajuk Artikel Dalam Blog Ini, Sila Taip Perkataan di sini.

17 Oktober 2010

Sudah Nasibku 'Mat Burger' : Episod 51


Syira tak tegur pun Cikgu Syikin, sebaliknya terus menuju ke motosikal tak jauh dari situ. Nizar pergi ke Cikgu Syikin dan bersalaman sambil mencium tangan cikgunya itu. Cikgu Syikin mengusap-usap kepala Nizar sambil mengucapkan tahniah. Lepas tu ada kawan Nizar yang baru keluar dari kawasan sekolah berbual keriangan bersama Nizar. Mereka bincang pasal masa depan selepas SPM tu, nak mohon ke mana pula lepas ni dan lain-lain cerita. Syira keseorangan di sebelah motosikal, menunggu Nizar. Syikin memerhatikan saja Syira.

Man menuju ke kereta dan ajak Syira pulang bersamanya, Nizar okey saja, sempatlah dia berbual lama dengan kawannya. Dalam kereta sepanjang perjalanan tak sampai 10 minit itu, Syira diam saja, sepatah pun tak berkata-kata dengan abangnya. Man buat biasa saja, dia nampak perubahan ketara pada Syira, dia tahu, ini kerana tersinggung kerana dia bersama Cikgu Syikin tadi. Man pasang radio dan kuatkan radionya, untuk melayan perasannya. Man pun ada menyesal juga, dia tak sangka adiknya itu keluar dari sekolah pada waktu itu masa dia sedang berbual mesra dengan Syikin. Kalau Man tahu, mesti dia duduk jauh-jauh dengan Cikgu Syikin, kan dah selalu jumpa di JB.

Sampai di rumah, mak dan ayah Man sudah tunggu di depan beranda. Mereka memang tak ke mana-mana hari itu,  kerana hendak tahu sangat keputusan periksa Syira dan Nizar. Tapi yang datangnya kereta Man dan bila dibuka, ada Syira dalam kereta tu. Syira keluar dari kereta dan menutup kereta dengan menghampas pintu kereta sekuat hatinya. Man sedar, Syira menunjukkan kemarahan padanya. Syira memeluk ibu dan bapanya dan memberitahu kejayaan mereka sebagai pelajar terbaik di sekolah. Ibu dan bapanya turut menangis kegembiraan kerana sejarah tercatat di kampung itu, anak orang kampung yang ibu bapanya kerja kampung boleh mencapai kejayaan sebegitu. Anak orang yang baik-baik seperti anak cikgu dan anak orang kaya pun tak sama kejayaan yang anaknya nikmati.

Syira nampaknya tak ceria dan terus masuk ke bilik, menutup pintu dengan kuat dan mengunci bilik dari dalam. Man nampak sangat Syira terasa hati sangat padanya. Namun mak dan ayah Man tak terasa apa-apa, yang mereka rasa Syira begitu kerana terlalu gembira. Man jadi tak sedap hati dan rasa kehadirannya di rumah itu seperti tidak dihargai.

"Mak, Man nak balik JB sekarang". Kata Man pada emaknya di ruang tamu.

Syira di dalam bilik dengar perkataan itu dan mula memasang telinga untuk ayat seterusnya yang bakal diperkatakan Man.

"Kenapa cepat sangat nak balik Man. Mak pun tengah nak masak nasi ni. Mak hari ni masak istimewa untuk anak-anak mak. Mak gembira sangat sampai tak terkata". Kata mak Man. Man terdiam seketika. Dia sedang memikirkan alasan yang nak diberikan.

"Mak. Man dah janji dengan orang nak hantar barang rumah Man tengahari ni. Kalau Man tak ada, susahlah". Kata Man.

"Yer ke Man. Telefonlah dia, mintak hantar lewat sikit". Kata mak Man.

"Tak boleh mak, Man kena balik juga ni".Kata Man.

Syira rasa bersalah dan tahu Man tergesa-gesa nak balik macam cacing kepanasan adalah kerana sikap Syira tadi. Syira yang masih baring di katil menangis, seakan menyesal kerana telah melukakan hati abangnya. Syira rasa, abangnya balik kampung untuk meraikan kejayaannya tetapi layanan yang Syira berikan adalah sebaliknya. Tidak sepatutnya begitu..... Lagi pun, abangnya sudah banyak berkorban wang ringgit untuk pelajaran adik-adik, tapi kenapa Man dilayan sebegitu selepas adiknya mencapai kejayaan ?

Sedang baring, Syira ternampak hadiah yang diberikan Yanti beberapa bulan dulu untuk diberikan pada Man. Sekali lagi dia teringatkan Yanti dan rasa marah pada Cikgu Syikin. Syira anggap, Cikgu Syikin hendak rampas Man dari Yanti. Kejam sungguh Cikgu Syikin, bisik hati kecil Syira. Hendak saja Syira baling muka Cikgu Syikin dengan hadiah itu dan beri amaran padanya supaya jangan mengganggu Man. Tapi itu cakap Syira saja, kalau berdepan dengan Cikgu Syikin, Syira terdiam juga. Dia sebenarnya terlalu hormat pada cikgunya itu.

Timbul pula perasan bersalah Syira kerana tidak bersalaman dengan Cikgu Syikin di sekolah tadi, sedangkan Nizar bersalaman. Ucapan tahniah Cikgu Syikin pun dia tak jawab, kira anak murid tak mengenang jasa ni. Yer, Cikgu Syikin banyak ambil berat sehingga mereka adik-beradik berjaya. Bukan saja waktu sekolah, Cikgu Syikin banyak buat kelas tambahan percuma kepada pelajar-pelajar di kampung tu termasuk Syira dan Nizar. Oleh kerana Syira pun sudah rasa pengalaman beberapa bulan jadi cikgu ganti, jiwanya juga terasa sebagai seorang guru juga. Apa kata kalau anak murid Syira tak hormat padanya ? Jadi, tadi kenapa berlaku kurang sopan pada cikgu Syikin itu ?    Kenapa begitu ? Terus hadir perasaan menyesal dalam diri Syira.

Tak lama kemudian, Syira terdengar bunyi alarm kereta Man, tentu menandakan Man sudah hendak balik. Syira cepat-cepat turun dari rumah menuju ke kereta Man. Ayah dan mak Man ada di situ. Syira terus menerpa ke arah Man yang baru saja buka pintu nak masuk ke dalam kereta. Syira memeluk Man dan menangis sepuasnya.

"Abang...maafkan Syira. Maafkan Syira". Kata Syira.

Mak dan ayah Man hairan apa yang berlaku dan merasakan ada sesuatu yang berlaku antara mereka adik beradik. Masa itu juga Nizar sampai dari sekolah naik moto kapcainya. Nizar bersalaman dengan ibubapanya sambil menunjukkan keputusan SPM nya. Ibubapanya meraikan kejayaan Nizar itu walaupun dah tahu keputusan SPM Nizar dari Syira tadi.

Tak lama selepas tu, ada satu kereta datang menuju ke rumahnya, baru belok dari simpang, kereta Kancil warna merah. Man, Nizar dan Syira tahu itu kereta siapa tapi tak kata apa-apa. Itulah kereta Kancil Cikgu Syikin. Man tunduk tanpa berkata apa-apa. Syira dan Nizar terdiam. Mak Man masih tertanya-tanya,

"Kereta siapa yang datang tu yer ?". Kata mak Man.

Betul. Itulah kereta Cikgu Syikin. Tapi kenapa dia datang ke situ ? Untuk apa ? Yang paling gementar adalah Man dan Syira, jantung mereka berdebar. Nak saja Man telefon Cikgu Syikn supaya jangan datang, tapi dah tak sempat, kereta dah nak sampai. Man dan Syira berpandangan antara satu sama lain.
Apa cerita sebenarnya yer ?




1 ulasan:

  1. akhirnya aku tewas. aku terpaksa layan kesedihan. air mataku tak dpt dibendung lagi. ni yg aku malas melayan cerpen ni. tahniah ustaz. power betul ayat-ayat ustaz.

    BalasPadam

Dipersilakan komen.