Untuk Memilih Tajuk Artikel Dalam Blog Ini, Sila Taip Perkataan di sini.

06 Oktober 2009

KEPADA PELABUR BURSA SAHAM : JANGAN GOPOH


Hari ini 6 Oktober 2009, jam 5 petang, indek komposit Bursa Saham berada paras 1212.73, naik 3.72. Urusniaga hari ini agak lengang dengan 577 juta lot saham diurusniaga hari ini. Suasana sebegini, tidak memungkinkan pelabur runcit seperti kita untuk membuat keuntungan dalam pasaran hari ini.
.
Saya menjangkakan, pasaran yang lemah ini akan berterusan beberapa minggu lagi kerana ketiadaan petunjuk yang jelas yang boleh menjadi pedoman pelabur. Tidak ada berita yang menarik untuk melonjakkan pasaran, sebaliknya berita negatif seperti bencana alam di Indonesia, harga minyak yang rendah di pasaran dunia dan ketiadaan petunjuk positif  yang boleh memacu pasaran. Pilihanraya kecil di Bagan Pinang juga membuatkan pelabur tertunggu-tunggu keputusannya, adakah memihak kepada BN atau BN tewas kepada PAS. Kalau BN menang dengan majoriti besar, mungkin pelabur rasa lebih yakin dengan masa depan ekonomi negara. Tetapi kalau BN kalah atau majoriti kemenangan yang lebih kecil, pelabur akan menterjemahkan bahawa keadaan ekonomi negara yang lemah.
.
Berita-berita dalam tv dan akhbar yang menggambarkan kekukuhan ekonomi negara, tidak boleh dipercayai sangat kerana itu bukanlah memberikan gambaran yang sebenar dalam konteks pasaran saham. Pelabur jangan terpengaruh dengan petunjuk kononnya indek komposit berada atas 1200 mata. Pada saya, indek ini bukan mencerminkan kekukuhan pasaran, pelabur perlu menyelam sendiri dalam pasaran untuk mengetahui suasana pasaran yang sebenar.
.
Bagi pelabur runcit, hari ini dan minggu-minggu sebelumnya tidak begitu mendapat peluang untuk menambah pendapatan. Seingatan saya, keadaan ini berlaku sejak Jun 2009 setelah mencatat kenaikan pada April 2009. Jangan risau, pelabur runcit perlu bersabar dahulu dan elakkan memasuki pasaran dan bersedia untuk masuk semula setelah mendapat petunjuk yang benar-benar kukuh. Ingat, kekukuhan indek komposit 1200 mata bukan faktor utama supaya pelabur runcit masuk, kalau indek naik 1500 mata sekalipun, belum tentu. Bilakah masanya yang sesuai ? Kalau ada peluang, saya boleh terangkan dalam blog saya pada masa yang akan datang.
.
Sila lihat beberapa saham kecil seperti KNM, LCL, RAMUNIA, MRCB, SAAG, MULPHA, SCOMI, L&G, NAMFATT, HUAAN, E&O, TIME, TEBRAU dan lain-lain . (Saya cerita saham kecil ini kerana menjadi kegemaran pelabur runcit, berlainan dengan pelabur institusi). Saham-saham ini pada tahun 2009 ini dianggap merupakan satu kumpulan yang sama yang boleh diambil kesempatan oleh pelabur. maksudnya begini... Sekiranya kita melihat 4 atau 5 saham ini diniagakan dengan aktif, maka saham yang selebihnya akan melonjak selepas itu. Saham-saham ini bukanlah dalam sektor yang sama, tetapi apabila berlaku lonjakan kepada saham kecil, pelabur runcit akan tertumpu kepada saham ini.
.
Ada beberapa orang yang bertanya saya, adakah boleh kita membeli saham berharga kecil sekarang, mungkin saham ini akan naik ? Bagi saya, elakkan menyimpan saham dalam pasaran kalau kita tidak pasti halatuju saham tersebut. Saham yang kecil tidak mustahil akan jadi terus kecil, seterusnya boleh juga digantung dari pasaran. Oleh itu, berhati-hati, melabur dalam pasaran saham, harga yang murah belum tentu kita dapat menjual dengan harga yang tinggi.
.

Tapi, kalau tuan-tuan masih berpegang kepada keputusan  untuk membeli dan menyimpan saham murah, mungkin itu tidak salah setelah membuat kajian yang betul. Kalau anda suka dengan cara permainan begini, pertama, pastikan anda ada cukup wang dan wang itu bukan untuk kegunaan lain yang anda perlu belanjakan. Maknanya, anda redha kalau wang itu tidak mendatangkan pulangan apa-apa dalam tempoh terdekat.
.
Saya jangkakan akan ada satu lagi lonjakan saham dalam tahun 2009 ini, tapi tidak diketahui bila akan berlaku. Mungkin hujung oktober ini, November atau awal Disember. Biasalah, hujung tahun ini akan ada satu aktiviti yang dinamakan menghias akaun, di mana pengurus dana besar akan membeli saham-saham mewah untuk menutup akaun pelaburan mereka. Dalam keadaan ini, saham-saham kecil seperti yang saya beri contoh tadi akan menjadi pelabur runcit dan akan diniagakan aktif. Waktu itu, pelabur jangan berdiam diri, rebut peluang untuk memasuki pasaran. Beli dan jual untuk mendapat keuntungan segera. Kebiasaannya, kenaikan ini akan berlaku 2 hingga 3 minggu sebelum berlaku kejatuhan semula. Pelabur dinasihatkan tidak terperangkap dengan membeli saham yang sudah tinggi harganya. SELAMAT MELABUR.
.

.

3 ulasan:

  1. Salam,

    Bagi saya tak seharusnya kita orang Islam terlibat dengan pembelian saham syarikat2 terbitan awam yang wujud dalam sistem ekonomi kapitalis dewasa ini.

    Ia tidak menepati aqad syirkah muamalah Islam.

    Adalah lebih baik kita melibatkan diri dalam sektor real economy (pembuatan & perkhidmatan) dari terlibat dalam sektor finacial market yang lebih cenderung kepada sepekulasi.

    Wasalam.

    BalasPadam
  2. Terima kasih atas komen anda,
    .
    Saya ingin jelaskan bahawa Islam menghalalkan jualbeli dan mengharamkan riba. Saham adalah suatu bentuk perkongsian perniagaan dalam konsep mudharabah.
    .
    Kita tidak boleh anggap semua yang dibawa oleh kapitalis sekarang adalah tidak betul kerana dalam banyak perkara, kapitalis meniru idea-idea bisnes Islam, cuma mereka mempraktikkan dalam masyarakat.
    .
    Terlibat dalam saham hukumnya harus. Di Malaysia ada Suruhanjaya Syariah yang memantau saham-saham di Bursa Malaysia.
    .
    Suruhanjaya ini dianggotai oleh pakar Islam dan ekonomi yang terkenal. Ada lebih 70 peratus saham disahkan halal oleh suruhanjaya ini dan angka ini berubah dari masa ke semasa.
    .
    Terpulang kepada pelabur, kalau dia beli saham yang tidak lulus syariah seperti judi, arak dan hiburan, maka hukumnya memanglah haram.
    .

    BalasPadam
  3. Assalamualaikum,

    Terima kasih kerana memberi tanggapan kepada komentar saya.

    Sebenar banyak points yang hendak saya ketengahkan di sini bagi mendedahkan bahawa syarikat terbitan awam yang wujud dalam sistem ekonomi kapitalis dewasa ini adalah tidak selari dengan syariah. Walaupun bagi syarikat-syarikat yang ditubuhkan berdasarkan kaedah tersebut diberikan taraf 'syariah compliance'.

    Tapi buat masa ini saya rasa cukup untuk mengajukan beberapa soalan kepada tuan:-

    1) Tuan menyatakan, [i]"Kita tidak boleh anggap semua yang dibawa oleh kapitalis sekarang adalah tidak betul kerana dalam banyak perkara, kapitalis meniru idea-idea bisnes Islam, cuma mereka mempraktikkan dalam masyarakat."[/i], dalam konteks topik yang di perbincangkan, saya harap pihak tuan dapat mendatangkan nas (teks) syara' yang menunjukkan bahawa bentuk persyarikatan sebagaimana 'syarikat terbitan awam' ini wujud dalam Islam.

    Saya rasa cukup setakat itu buat masa ini. Terima kasih atas tanggapan tuan dan maaf sekiranya ia mengambil masa tuan.

    Wasalam.

    BalasPadam

Dipersilakan komen.