Untuk Memilih Tajuk Artikel Dalam Blog Ini, Sila Taip Perkataan di sini.

18 September 2010

Taktik Terbaru Perompak di Mesin ATM

KLUANG - Kes penipuan menggunakan cara ‘tepuk bahu’ semakin menjadi-jadi di daerah Kluang dan suspek selalunya berada di kawasan mesin juruwang automatik (ATM). Ketua Polis daerah Kluang, Asisten Komisioner Polis, Mohd Fawzi Arsyad berkata, pihaknya sudah menerima enam laporan di Ibu Pejabat Polis daerah Kluang berhubung kes tipu ‘tepuk bahu’.

“Sindiket ini selalunya berada di kawasan mesin pengeluaran wang ATM dan bukan hanya seorang tetapi dua hingga tiga individu.

“Taktik yang digunakan suspek ini adalah apabila ada mangsa hendak keluarkan wang dari mesin ATM, sindiket ini akan turut beratur di belakang mangsa kononnya untuk mengeluarkan wang daripada mesin ATM yang sama,” katanya dalam sidang media di IPD daerah Kluang, semalam.

Mohd Fawzi berkata, bagaimanapun, semasa sedang membuat proses untuk mengeluarkan wang daripada mesin dan wang hampir keluar, sindiket ini akan menjatuhkan beberapa helai wang kertas dan menepuk bahu mangsa memberitahu wang mangsa jatuh.  Beliau berkata, apabila masa sedang tunduk untuk mengambil wang berkenaan di lantai, sindiket ini akan menukarkan kad ATM mangsa dengan kad yang lebih kurang sama dengan kad ATM mangsa.

“Setelah sudah menukar kad ATM mangsa, suspek ini akan keluar meninggalkan mangsa. Akibat daripada penukaran kad ATM itu, wang mangsa dalam akaun dikeluarkan oleh sindiket terbabit tanpa pengetahuan mangsa.

“Mangsa akan mengetahui penipuan ini apabila membuat semakan di bank dan pihak bank mengesahkan kad yang ada pada mangsa bukan milik mangsa.

“Malah, wang dalam akaun mangsa juga dikeluarkan sindiket terbabit. Saya menasihatkan kepada orang ramai yang menggunakan perkhidmatan mesin ATM, sila mengawasi sindiket ini di sekitar mesin ATM dan berhati-hati pabila hendak membuat pengeluaran wang." Katanya lagi.

2 ulasan:

Dipersilakan komen.